Pemakanan tidak seimbang dan gaya hidup yang tidak sihat antara faktor utama berlakunya penyakit serius, namun masih ramai yang memandang ringan perkara ini.
Itulah yang dilalui anggota kumpulan Nico G, Dino atau nama sebenarnya Mohd Shah Rosli apabila dia diserang stroke atau angin ahmar pada bahagian kanan badan awal Julai lalu.
Menurut laporan Harian Metro, Dino mengakui sebelum diserang stroke, dia ada memakan tujuh biji durian dalam tempoh sehari selain merupakan perokok tegar sejak muda.
“Sebelum kena stroke kira-kira sebulan lalu, saya sebenarnya ada makan tujuh biji durian seorang diri dalam tempoh sehari saja.
“Esoknya, ketika bekerja saya rebah tiba-tiba. Saya memang gemar makan durian dan setiap kali ada musim (durian) saya mesti akan beli dan makan.
“Jadi, bila sudah diserang stroke, saya tidak menolak kemungkinan ia barang kali ada kena-mengena dengan faktor pemakanan saya sendiri.
“Saya pun suka makan benda-benda manis juga. Malah, selepas dibawa berjumpa doktor, masa bercakap pun, mulut saya masih lagi berbau durian,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Pada masa sama, Dino tidak menafikan sedang berdepan kesempitan kewangan, lebih-lebih lagi selepas diserang stroke yang menyebabkan dia tidak mampu bekerja buat sementara waktu.
“Sejak sakit stroke sebulan lalu, saya juga tidak bekerja lagi dan tidak dinafikan memang menghadapi masalah kewangan. Pada ketika ini, saya harus berehat.
“Saya pun hanya bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah. Tapi, buat masa ini majikan beri saya cuti sehingga benar-benar pulih dan boleh bekerja semula.
“Pihak majikan juga tidak lepas tangan dan ada menghulurkan sumbangan RM500. Cuma, sekarang ini saya memang tiada pendapatan langsung dan sebab itu saya minta bantuan,” katanya.
Baca juga: Rafizi cadang sekolah tamat pada usia 16 tahun, pelajar boleh masuk dunia kerja lebih awal