“Saya tak pandai kira duit…” – Jual air ikut ‘bayar seikhlas hati’, kisah Zufar sentuh hati ramai

Oleh MAISARAH AISYA

Apa yang pada awalnya kelihatan seperti strategi pemasaran unik, rupa-rupanya menyimpan kisah yang menyentuh hati di sebaliknya.

Penjual air tembikai, Zufar Azman, akhirnya berkongsi sebab sebenar mengapa dia memilih untuk menjual minuman dengan konsep ‘bayar seikhlas hati’.

Sebelum ini, Zufar beberapa kali tular di media sosial kerana cara perniagaannya yang luar biasa pelanggan bebas meletakkan harga sendiri tanpa ditetapkan sebarang kadar tetap.

Ketika ditemu bual oleh stesen radio Era FM, Zufar dengan jujur mengakui bahawa dia tidak meletakkan harga kerana tidak mahir mengira dan sukar memulangkan baki kepada pelanggan.

“Sebab saya tak pandai pulangkan duit, kira pun tak pandai sangat,” katanya ringkas.

Walaupun berdepan kekurangan tersebut, semangatnya untuk berniaga tetap tinggi. Zufar mendedahkan dia mampu menjual sekitar 100 cawan air sehari, dengan pendapatan mencecah antara RM200 hingga RM300.

Menariknya, ada juga pelanggan yang membayar serendah 10 sen, namun menurut Zufar, kebanyakannya melibatkan kanak-kanak.

“Dalam 100 cawan, kadang dapat RM200, kadang dapat RM300 sehari. Ada yang bayar 10 sen, tapi budak-budaklah,” jelasnya lagi.

Lebih menyentuh hati, menerusi perkongsian di TikTok, Zufar turut mendedahkan bahawa dia tidak boleh membaca, dan setiap berita mengenai dirinya perlu dibacakan oleh kakaknya.

“Zufar masuk surat khabar. Kakak Zufar yang bacakan berita tu untuk Zufar. Sebab Zufar tak boleh baca sendiri. Tapi masa kakak bacakan ayat demi ayat dari akhbar, tangan Zufar menggeletar.

“Mata Zufar dah mula berair. Zufar budak 17 tahun yang tak boleh membaca, yang tak pandai mengira, yang selama ni rasa diri ni tak cukup.

“Kisah Zufar yang kecil ni rupanya sampai ke mata orang ramai yang Zufar tak pernah kenal,” kongsinya penuh emosi.

Kisah ini bukan sahaja mengundang simpati, malah membuka mata ramai tentang kecekalan seorang remaja yang tetap berusaha mencari rezeki meskipun berdepan kekangan diri.

Baca juga: Anwar Ibrahim difitnah sertai ‘pesta air’, video hadiri tayangan perdana filem disunting