Keputusan kerajaaan untuk mengekalkan harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter khusus di Sabah dan Sarawak sering kali menjadi topik perbincangan hangat di media sosial kebelakangan ini.
Hal ini kerana segelintir pihak beranggapan tindakan kerajaan itu sebagai bentuk layanan istimewa ekoran harga diesel di Semenanjung negara terus meningkat selari dengan lonjakan kadar minyak mentah global.
Isu itu menarik perhatian seorang penternak haiwan eksotik dikenali sebagai Khairul Johari untuk tampil berkongsi pendapat peribadinya berhubung perkara tersebut menerusi perkongsian di platform Facebook.
Menurut Khairul, langkah kerajaan itu tidak sewajarnya dijadikan sebagai isu kerana bahan api tersebut adalah satu keperluan untuk penduduk di kedua buah negeri berkenaan terutamanya di kawasan pedalaman.
“Dekat Semenanjung, kenderaan diesel itu pilihan. Nak beli petrol boleh, nak EV (kenderaan elektrik) pun boleh. Tolak tepi untuk angkat sawit dan kegunaan komersial. Tetapi di Sabah dan Sarawak, terutama di pedalaman. Diesel bukan pilihan, tetapi keperluan.
“Pakai kenderaan pacuan empat roda bukan bertujuan nampak gagah atau gaya. Tetapi sebab keadaan jalan di sana dengan sungai, lumpur dan berbukit. Kereta biasa memang tak lepas. Jika tiada kenderaan diesel ini, ada orang tak boleh pergi kerja.
“Budak juga tak boleh pergi sekolah. Sebab itu apabila kerajaan kekalkan harga diesel murah di sana, aku tak rasa ia ‘kelebihan’ pun. Aku nampak itu sebagai bentuk bantuan bagi seimbangkan kehidupan yang memang sudah berat,” kongsinya.
Khairul juga berharap agar masyarakat terutamanya penduduk Semenanjung menilai isu harga diesel itu secara lebih rasional dan mempertimbangkan realiti kehidupan sebenar dihadapi rakyat Sabah dan Sarawak.
Sebagai contohnya, kenaikan mendadak harga diesel di kedua buah negeri tersebut boleh menjejaskan kos sara hidup akibat peningkatan nilai bahan mentah seperti ayam dan telur yang boleh melambung berkali ganda.
“Aku cuba bayangkan, kalau diesel di sana naik macam Semenanjung. Apa jadi dengan harga barang? Ayam mungkin boleh pergi RM16 ke RM17 sekilo. Telur pula RM20? RM25 sepapan? Kita nampak yang naik harga minyak. Tetapi yang mereka tanggung adalah makan dan minuman harian.
“Kos hidup juga jauh lebih tinggi. Barang sampai sana bukan jatuh dari langit. Semua kena bawa masuk guna lori, kapal dan logistik. Semua itu guna diesel. Itu belum cerita kawasan pedalaman lagi. Ada tempat yang masih guna generator. Generator bukan ‘minum’ air kosong.
“Tetapi ‘minum’ diesel. Kalau harga naik, bukan setakat minyak naik. Lampu rumah juga jadi mahal. Tak banyak pun kita dengar mereka merungut. Bahagian kita adalah cuba faham situasi mereka. Jadi kenapa kita nak berkira sangat?,” kesalnya dalam hantaran itu.
Sehubungan dengan itu, Khairul meminta orang ramai berhenti melakukan perbandingan sebaliknya belajar bersyukur dengan rezeki dimiliki serta menganggap mereka yang menerima sesuatu mungkin lebih memerlukan.
Baca juga: Nak subsidi RON95? Pastikan lesen anda tak ‘expired’ lebih 3 tahun