Selangor benar solat Jumaat dan jemaah 50 hingga 100 orang

Oleh KIM SYAZIE

Selangor membenarkan solat Jumaat serta solat fardhu lima waktu dilakukan di semua masjid, surau dan musolla sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 bermula hari ini.

Menerusi surat pekeliling dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kehadiran solat jumaat boleh disertai 50 hingga 100 orang jemaah sahaja.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kelonggaran diberikan susulan penularan Covid-19 di negeri itu dalam tempoh beberapa hari terakhir telah menunjukkan trend penurunan yang agak konsisten setelah lebih sebulan angka penularan mencatatkan purata 4000 kes.

Bagaimanapun, dalam melaksanakan ketetapan baru itu, Jais menetapkan untuk semua pentadbir masjid, surau dan musolla di negeri itu memenuhi syarat-syarat dalam menjemput jemaah.

Antaranya, ahli kariah yang tinggal dalam kariah masjid atau surau kebenaran solat Jumaat sahaja dibenarkan untuk hadir solat Jumaat, namun ahli kariah mestilah telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Melaksanakan kaedah penggiliran jika jemaah penerima dua dos suntikan vaksin melebihi dari kapasiti jemaah yang dibenarkan.

Bagi solat fardhu lima waktu, ahli kariah yang tinggal dalam kariah masjid, surau atau musolla sahaja dibenarkan untuk hadir, dan telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Melaksanakan penggiliran jemaah mengikut hari atau waktu atau mana-mana yang bersesuaian jika bilangan jemaah yang menerima dua dos suntikan vaksin melebihi dari kapasiti jemaah yang dibenarkan.

Pada masa sama, pentadbir masjid, surau dan musolla perlu memastikan semua jemaah yang hadir terus mematuhi kawalan kendiri dengan memakai pelitup mulut dan hidung; Membawa sejadah saiz standard; Berwudhuk dari rumah; dan Menggunakan hand sanitizer ketika hadir dan pulang.

Jemaah yang tidak sihat dan bergejala serta mempunyai bacaan suhu lebih 37.4 °C adalah dilarang hadir.