Pakatan Harapan (PH) Selangor berharap agar sistem FTTIS (Find – Kenalpasti, Test – Uji, Trace – kesan, Isolate – Kuarantin dan Support – Sokong) yang akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan akan dapat memastikan kadar kes baharu Covid-19 terus menurun.
Pengarah Penerangan PH Selangor, Azli Yusof berkata, pelaksanaan sistem FTTIS itu bahkan dapat memastikan bibit-bibit kes dan kluster baharu dikesan lebih awal bagi mengelak penularan wabak secara meluas.
“Secara psikologi pula, pelaksanaan sistem FTTIS juga akan mengurangkan tekanan mental dan kebimbangan orang ramai.
“Seterusnya ia boleh memberi keyakinan kepada orang ramai yang telah mula keluar bekerja dan berniaga, merentas negeri untuk berziarah dan melancong, serta mengunjungi tempat tumpuan awam setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam wawancara di Astro Awani berkata, KKM bakal melaksanakan sistem FTTIS dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Khairy berkata, pelaksanaan sistem seperti yang dituntut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu dapat mengenal pasti individu yang dijangkiti Covid-19 dengan segera dan memudahkan mereka menghubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Menurutnya lagi, sistem FTTIS juga sangat penting untuk beralih ke fasa endemik kerana membolehkan KKM mengetahui lokasi mana-mana individu didapati positif Covid-19 menggunakan ujian kendiri.
Mengulas lanjut, Azli berkata, walaupun agak terlewat, langkah KKM untuk melaksanakan FTTIS disambut baik masyarakat awam khasnya rakyat negeri Selangor.
“Ini kerana Kerajaan Negeri Selangor telah lebih awal menyahut tuntutan WHO melaksanakan sistem FTTIS melalui applikasi SELANGKAH dan terbukti telah banyak membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19, khususnya di negeri ini,” jelasnya.
Beliau menambah Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC19) yang terdiri dari pakar-pakar perubatan berkaitan juga telah lama mendesak, memberi nasihat dan advokasi agar KKM memberi keutamaan pelaksanaan FTTIS dengan kadar segera.
“Data dan maklumat diperolehi FTTIS sangat berguna untuk mengenalpasti dan mengawal penularan wabak secara bersasar dan berkesan,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor.
Ujarnya lagi, FTTIS juga membolehkan kerajaan Negeri Selangor melaksanakan program pemberian vaksin secara menyeluruh melalui Program Vaksinasi Selangor (SELVAX) kepada rakyat yang mempunyai penduduk teramai seterusnya membantu kerajaan persekutuan mencapai sasaran imuniti kelompok dengan kadar segera.