Selangor serah 20,000 dos vaksin percuma kepada Pulau Pinang

Oleh KIM SYAZIE

Atas semangat menyambut Hari Kebangsaan hari ini, kerajaan negeri Selangor mengambil kesempatan melakukan sumbangan 20,000 dos vaksin percuma kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di SP Arena, Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah hari tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap berkata, inisiatif yang diambil adalah bagi memastikan kadar vaksinasi dapat dipercepatkan dan rantaian penularan wabak Covid-19 dapat dihentikan dengan segera.

“Kerajaan negeri Selangor pada 19 Ogos 2021 telah mengumumkan hasrat untuk meminjamkan stok 500,000 vaksin selVAX kepada negeri-negeri lain dan atas semangat solidariti maka kerajaan negeri memutuskan untuk menyumbangkan 20,000 dos vaksin tersebut kepada Pulau Pinang.

“Sehingga semalam, 30 Ogos 2021, kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara masih lagi meningkat dan jumlah terkumpul bagi Selangor adalah sebanyak 599,624 kes dan bagi Pulau Pinang jumlah terkumpul adalah sebanyak 84,759 kes.

“Manakala bagi kes positif untuk Selangor setakat ini ialah 3,567 dan Pulau Pinang pula adalah sebanyak 1,780 kes,” ujar beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin, Jagdeep Singh Deo serta Exco kesihatan negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.