Selepas 6 jam dipacak 200 bendera Harapan dicabut, dibuang dalam parit-Taktik kotor tak bertamadun

Oleh NASUHA RAHMAN

Selepas 6 jam memasang dan memacak 200 bendera Pakatan Harapan (PH) didapati telah dicabut dan dibuang ke dalam parit menunjukkan taktik kotor dan tidak bertamadun dalam pilihan raya.

Kejadian itu berlaku di sepanjang laluan Kampung Parit Kuari dekat Ayer Hitam, Johor.

Calon PH Parlimen Ayer Hitam Sheikh Umar Bagharib Ali menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata petugas yang memacak bendera menyedari kejadian itu sekitar 8 pagi semalam selepas enam jam dipasang.

“Kami amat kecewa terhadap sikap politik samseng sebegini dan mengutuk mana-mana pihak yang menggunakan taktik kotor serta tidak bertamadun dalam pilihan raya.

“Sikap ini mencalarkan demokrasi yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara sihat dan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor mengarahkan petugas PH di Parlimen itu supaya tidak melakukan sebarang tindak balas di luar sempadan undang-undang pilihan raya.

Baca Artikel Penuh