Selesaikan masalah kemaskini status vaksin di MySejahtera

Oleh ARIF ATAN

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Menteri Kesihatan untuk memberikan perhatian segera dan keutamaan memperbaiki masalah aplikasi MySejahtera sebelum memperkenalkan sebarang fungsi atau ciri-ciri baharu.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima pelbagai aduan dan maklum balas daripada penduduk bahawa mereka tidak memiliki sijil digital di dalam MySejahtera walaupun mereka telah mengambil vaksin yang lengkap.

“Mereka telah berusaha menghubungi Helpdesk MySejahtera untuk mengadu mengenai perkara ini dan untuk mendapatkan sijil digital setelah lengkap menerima dua dos vaksinasi namun mereka tidak mendapat sebarang maklumbalas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tidak munasabah untuk MySejahtera mengalami ketidakcekapan seperti itu ketika semua pergerakan dihubungkaitkan atau bergantung kepada status vaksin.

“Pembelian barangan harian, makanan, kemasukan ke padang, tempat kerja dan penggunaan pengangkutan harian – semuanya bergantung kepada status vaksin mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, ramai daripada mereka tidak dapat meneruskan aktiviti harian akibat kegagalan MySejahtera mengemaskini status vaksin mereka dan ini bertambah teruk apabila mereka tidak dapat menghubungi Helpdesk MySejehtera.

Baca Artikel Penuh