Spesies kerang-kerangan di kawasan perairan Sungai Geting, Tumpat di Kelantan disahkan dicemari toksin saraf (Saxitoxin) daripada alga berbahaya Alexandrium Minutum.
Hal itu dimaklumkan Jabatan Perikanan Kelantan menerusi notis pemberitahuan mengenai larangan memungut, menjual dan makan spesies kerang-kerangan di kawasan perairan Sungai Geting untuk siaran umum.
“Dukacita dimaklumkan bahawa keputusan analisis daripada pihak Makmal Biosekuriti Perikanan mendapati kerang-kerangan di kawasan tersebut telah tercemar dengan toksin saraf (Saxitoxin) daripada alga berbahaya Alexandrium Minutum.
“Akibat daripada memakan kerang-kerangan yang tercemar itu boleh menyebabkan keracunan, berbahaya dan memudaratkan kesihatan,” kata Pengarah Perikanan Kelantan, Nazri Ishak.
Sehubungan itu, tegasnya, orang ramai dilarang melakukan aktiviti memungut, menjual dan memakan spesies kerang-kerangan seperti tiram, lokan, kepah dan lala yang dikutip di sekitar kawasan perairan tersebut.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, kejadian itu sudah banyak berlaku di kawasan terbabit, dan ia berpunca daripada banyak faktor termasuk cuaca panas.
Lapor BH, pihak Perikanan Kelantan akan menjalankan ujian pensampelan setiap minggu dan mengeluarkan notis pemberitahuan jika spesies itu sudah selamat untuk dimakan nanti.
“Sebagai langkah kawalan, kita mengarahkan supaya pencari atau pengutip kerang-kerangan ini jangan kutip lagi sehingga dipastikan ia selamat untuk dimakan.
“Bagi penjual di tepi jalan sekitar kawasan Sungai Geting pula, tidak semestinya mereka kutip di perairan itu kerana ada yang diperoleh daripada pengutip yang mencari di lokasi lain. Mereka juga sedia maklum akan kejadian itu kerana bukan kali pertama berlaku.
“Bagaimanapun, nasihat saya kepada pembeli agar bertanya terlebih dahulu kepada penjual mengenai dari mana kerang-kerangan itu diambil, bagi mengelakkan termakan spesies yang tercemar,” jelas Nazri lagi.