Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan Malaysia kehilangan seorang tokoh pendidikan dan dakwah apabila perginya Datuk Ustaz Siddiq Fadzil petang tadi.
Mohamad dalam kenyataannya berkata, pemergian Ustaz Siddiq satu kehilangan besar buat negara khususnya Parti Amanah Negara yang menerima sentuhan dan pandangan beliau seawal sebelum penubuhan.
“Beliau adalah guru dan kawan yang meninggalkan legasi yang besar kepada pendidikan dan dakwah di Malaysia.
“Moga Allah kurniakan setinggi-tinggi pengampunan dan di tempatkan bersama orang orang yang soleh buat beliau.
“Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Mohamad.
Sementara itu, laman sosial khasnya Facebook dipenuhi dengan ucapan tahziah dan kenangan ketika bersama dengan Ustaz Siddiq.
Ustaz Siddiq menghembuskan nafasnya yang terakhir jam 6.32 petang tadi selepas beberapa hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan diberikan bantuan pernafasan.