Syarikat rangkaian kopi terkenal, Starbucks kembali meraih perhatian dunia selepas mengumumkan akan mengambil tindakan terhadap kesatuan pekerjanya.
Hal ini berikutan Kesatuan Pekerja Starbucks yang berpendirian tegas menyokong warga Palestin dan menentang sekeras-kerasnya penindasan dilakukan rejim Israel.
Dewan Perniagaan Yahudi Ortodoks kemudian mengancam untuk memboikot jenama kopi tersebut selepas kenyataan dari kesatuan pekerja itu tular di laman X (Twitter).
Susulan ancaman itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komunikasi Starbucks Coffee Company, AJ Jones II menghubungi wakil Dewan Perniagaan, Duvi Honig.
Dalam surat kepada Honig, AJ Jones II menyatakan pendirian syarikat itu yang tidak berkongsi pandangan sama dengan kesatuan pekerja, lapor The Jerusalem Post.
“Maklumat salah dan tajuk berita yang menghasut berpunca daripada imej dan kenyataan oleh kesatuan pekerja pada minggu lepas sangat mengusarkan kami.
“Kami sangat tidak bersetuju dengan pandangan mereka. Ini termasuk pandangan ahli gabungan tempatan, penganjur dan mereka yang mengenalkan diri sebagai ahli ‘Starbucks Workers United’.
“Kesatuan ini tidak mewakili pendirian Starbucks. Mereka tidak mewakili kepercayaan, pandangan atau kedudukan syarikat,” katanya memetik laporan Jerusalem Post.
Syarikat itu juga memfailkan aduan di mahkamah persekutuan terhadap Kesatuan Pekerja Starbucks kerana menyalahgunakan nama, logo dan harta intelek mereka.
Para pekerja kemudian menerima mesej yang mengecam keganasan ‘Hamas’ dan menekankan bahawa kenyataan individu tidak mencerminkan pendirian syarikat.
“Tingkah laku melulu (kesatuan) seperti itu memerlukan penelitian untuk melindungi rakan kongsi kami dan menjelaskan pendirian rasmi Starbucks.” Jelasnya.
Baca juga: Pemuda taubat dah tak nak jejak Cameron Highlands lagi, terpaksa berhabis RM1,470 dalam masa 2 hari