Strok haba: Henti buat fitnah kepada air sejuk – Dr Imelda

Oleh SHAFIQAH MUKHSIN

WhatsApp sudah menjadi medium untuk menyebarkan maklumat tidak sahih dengan cepat dan kini yang menjadi ‘mangsa’ adalah air sejuk.

Pakar KPJ Damansara, Professor Dr Imelda Balchin menyanggah mesej yang tular mengenai air sejuk di WhatsApp.

Di bawah adalah perkongsian dari Facebook Imelda Balchin mengenai fitnah kepada air sejuk.

Berhentilah buat fitnah kepada air sejuk. Janganlah menyebarkan nasihat mengarut macam ini melalui WhatsApp.

Apa anda perlu tahu tentang strok haba ialah sebabnya ia berlaku bukanlah kerana minum air sejuk.

Sebab strok haba berlaku ialah badan anda sudah tak boleh lagi kawal suhu badan dan suhu badan naik terlalu tinggi melebihi 40C.

Akibatnya ialah suhu badan dan suhu otak yang terlalu tinggi itu menyebabkan anda menjadi keliru tak boleh berfikir dengan waras (confused).

Malah boleh menyebabkan sawan, hilang kesedaran diri (koma) dan boleh meninggal dunia jika tidak mendapat rawatan menurunkan suhu badan dengan cepat.

Ada dua cara suhu badan kita boleh naik terlalu tinggi:

1) Pakai baju tebal berlapis-lapis dan duduk di tempat yang terlalu panas.

2) Membuat aktiviti yang sangat intensif sampai dehidrasi yang teruk.

Maka pada waktu panas, kurangkan lah membuat kedua-dua perkara di atas dan tambah minum air dengan lebih banyak.

Janganlah memaksa ibu yang baru bersalin duduk di dalam kepanasan, paksa pakai baju tebal, tak benarkan buka kipas atau aircond, tak bagi minum dengan secukupnya dan tak bagi mandi, sebab ini ialah satu penyeksaan kepada ibu-ibu yang baru bersalin yang perlu menyusukan bayinya.

Selalunya mereka yang kurang upaya mengawal suhu badan ialah orang tua-tua, bayi yang baru lahir, mereka yang minum alcohol, atau mereka yang sudah kehilangan terlalu banyak peluh.

Bagaimanakah badan manusia berusaha menghalang peningkatan suhu badan?

1) Dengan mengembangkan saluran darah di bawah kulit, supaya lebih darah panas dibawa ke bahagian kulit untuk menjana keluar haba dari bahagian dalam badan keluar melalui kulit.

2) Dengan berpeluh. Bila kilang peluh mengeluarkan air (yang ditapis dari darah) ke permukaan kulit, kehadiran air di permukaan kulit itu menyejukkan badan sebab air itu menggunakan haba badan untuk menyejat ke dalam udara.

3) Otak anda memberi anda rasa kehausan bila mengesan kekurangan air di dalam darah dan anda akan mencari minuman air sejuk untuk menghilangkan rasa haus dahaga.

Sebab inilah bila anda minum air sejuk, dan suhu badan diseimbangkan semula ke suhu badan yang normal, maka saluran darah yang kembang ke arah kulit bila badan panas itu boleh kecut semula seperti normal.

Untuk kebanyakan orang, badan anda pandai menyeimbangkan suhu badan supaya sentiasa normal, tidak benarkan suhu badan jatuh rendah dan tidak benarkan suhu badan naik tinggi, boleh minum air sejuk dan boleh minum air panas tanpa apa-apa masalah.

Tetapi bila otak anda mengesan suhu badan mula turun, anda akan menggeletar sebab otot-otot yang menggetar ialah satu aktiviti intensif yang menjanakan haba supaya suhu badan menjadi normal semula.

Bila otak mengesan suhu badan mula naik, saluran darah akan kembang ke bahagian kulit, anda akan berpeluh dan rasa dahaga.

Tetapi anda juga boleh membantu badan anda menyeimbangkan suhu badan dengan lebih cepat supaya badan anda tak payah menggeletar dan tak payah berpeluh terlalu banyak.

Jika anda sendiri rasa sejuk: pakailah baju tebal, minum air suam, cari tempat yang lebih panas, tambahkan aktiviti badan supaya tidak menggeletar.

Jika anda sendiri rasa badan anda panas: Janganlah pakai baju tebal, keluar dari kawasan panas ke tempat yang lebih teduh dan lebih sejuk, bukalah kipas, minum air sejuk dan kurangkan aktiviti badan.

Sebab itulah jika anda mengesyaki seseorang itu mendapat strok haba (panas badan atau terlalu banyak sangat berpeluh sehingga mendapat simtom kekeliruan, sawan, tidak sedar diri).

Maka anda cepat-cepatlah bawa orang itu ke tempat yang teduh, buka kipas, basahkan permukaan kulit dengan air sejuk, panggil ambulans cepat-cepat.

Jangan lupa, menggeletar selepas bersalin itu bukan sebab tak pantang makan, bukan sebab badan sejuk atau masuk angin.

Kita pengamal kesihatan di wad bersalin sudah selalu bagi ibu yang baru bersalin selimut tebal, minum air panas dan check suhu badannya normal pun, akan dapati satu di dalam tiga ibu yang baru bersalin akan menggeletar juga.

Sebabnya menggeletar selepas bersalin tetapi suhu badan normal ialah ada sedikit kemasukan darah bayi yang termasuk ke dalam saluran darah ibu melalui placenta semasa proses bersalin.

Inilah kita panggil maternal-fetal transfusion reaction yang hanya sementara saja dan akan pulih semula tanpa apa-apa rawatan.

Sekiranya darah bayi dan darah ibu tak sama kumpulan darahnya, maka lebih tinggi risiko mendapat maternal-fetal transfusion reaction selepas bersalin.

Sekiranya darah bayi dan darah ibu itu sama kumpulan darahnya, tetapi ada lebih banyak kemasukan sel darah bayi ke dalam saluran darah ibu, maka lebih tinggi risiko mendapat maternal-fetal transfusion reaction selepas bersalin juga.

Tetapi kita tak perlu risau tentang menggeletar ini selagi kita tahu suhu badan ibu adalah normal.

Selagi suhu badan ibu normal, maka tak perlu apa-apa rawatan dan menggeletar itu akan pulih dengan sendirinya.

Tetapi jika ibu yang baru bersalin itu menggeletar dan suhu badannya di bawah 36C atau melebihi 37.6C, sila bawa ibu ini ke hospital.

Jangan kata ‘bentan’ dan biarkan dia saja di rumah, bawalah ke hospital untuk pemeriksaan doktor.

Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat untuk anda.

Baca juga: Niat hanya mahu membantu, wanita terkejut kena ‘scam’ dengan lelaki OKU