Seorang wanita yang bergelar suri rumah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas membuat satu perkongsian di media sosial.
Mana tidaknya, suri rumah berkenaan mendakwa menerima gaji bulanan dari suami sebagai penghargaan untuknya kerana berkerja keras menguruskan rumah tangga.
Dilantik sebagai ‘pengurus’ keluarga, wanita bertuah itu turut diberi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Bukan sengaja mereka cerita, suri rumah berkenaan turut memuat naik satu gambar memaparkan ‘penyata pendapatan’ yang diterimanya setiap bulan sebagai bukti.
“Suami saya memberikan gaji bulanan sebagai pengurus kerana saya uruskan rumah. Lengkap dengan KWSP, Perkeso serta cukai pendapatan.
“Dia macam ini. Kalau lelaki yang betul-betul lelaki, mereka akan gembira untuk berkerja dan tidak berkira dalam berbelanja untuk keluarga dia.
“Kalau berkira, itu kurang hormon testosteron mungkin,” ciap wanita berkenaan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun media sosial X (Twitter) miliknya.
Wanita yang sudah mendirikan rumah tangga selama lebih 10 tahun itu berkata, gaji tersebut adalah cara suami menghargai keputusannya berhenti kerja demi keluarga.
Sementara itu, suri rumah tersebut sempat memberi peringatan bahawa perbuatan suaminya hanya boleh ditiru oleh lelaki yang pandai menguruskan kewangan keluarga.
“Bukan fasal gaji kecil ke besar. Tak buat macam ini pun okey. Apabila kewangan membaik, tak ada tambah anak, barulah boleh buat untuk menguruskan kewangan.
“Tak payahlah anda semua menggelupur. Ini hanyalah cara suami saya hargai usaha saya meninggalkan kerjaya dan memilih untuk jaga keluarga.
“Kalau baru nak kahwin, memang kehidupan mencabar sikit. Tenanglah.. Sekian, saya tak akan melayan segala komen negatif.” Kata wanita itu yang turut menerima kecaman.
Tidak menggunakan ‘gaji’ tersebut untuk kepentingan sendiri, wanita itu menjadikan ibunya sebagai idola dalam pengurusan kewangan untuk masa depan keluarga.
“Mak buta huruf tetapi dari segi pengurusan kewangan, dia idola saya. Berjuta pun duit, kalau tidak diuruskan dengan betul susah jadinya.
Memandangkan ada rezeki sedikit, elok urus siap-siap. Saya faham masing-masing dalam kasut sendiri. Jadi ikut kasut yang sesuai untuk anda ya.” Jelas suri rumah itu.
Baca juga: “McDonald’s Malaysia tak sumbang pada Israel, tak usah boikot”, padu nasihat mufti isu boikot McD