Suami lafaz taklik boikot susu ‘Israel’, ibu hilang arah lihat najis bayi berdarah kerana tak serasi

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang suami tergamak melafazkan taklik kepada isterinya demi membuktikan solidaritinya bersama rakyat Palestin.

Difahamkan, lafaz taklik berkenaan dibuat bagi melarang isterinya membeli produk susu bayi formula yang diboikot kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan Israel.

Mendatangkan kemudaratan, anak mereka pula yang menjadi mangsa apabila bayi yang tidak berdosa itu didapati mengalami pendarahan ketika membuang air besar.

Telah bertemu pakar perubatan, kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada ketidakserasian bayi yang berusia enam bulan itu dengan susu formula baharu.

Wanita berkenaan bagaimanapun berdepan dengan detik sukar untuk mengambil sebarang tindakan berikutan telah terikat dengan lafaz taklik diungkapkan suaminya.

Mahu mencari jalan keluar, wanita buntu itu memutuskan untuk bertanya pendapat pengguna media sosial melalui kumpulan Facebook Kelab Ibu Mengandung Malaysia (KIMM).

Tular di media sosial, pertanyaan wanita terbabit mula tersebar setelah dikongsikan menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna laman X (Twitter).

“Assalamualaikum semua, ada yang berpengalaman bayi buang air besar berdarah tak? Anak saya enam bulan, sejak mula kempen boikot dah tukar susu empat kali.

“Sudah jumpa doktor, saya cuma diberikan air garam dan krim sapu sahaja. Doktor nasihatkan untuk tukar susu lain. Tetapi saya terikat dengan taklik.

“Kalau bagi anak minum susu yang diboikot, nanti jatuh talak. Jadi ibu-ibu boleh beri cadangan susu lain tak? Tolong bantu saya, saya buntu,” soal wanita berkenaan.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pelayar platform X menyelar suami tersebut kerana tergamak menggunakan taklik untuk perkara yang tidak masuk akal.

Ada juga individu yang memberi cadangan agar wanita itu membuat rujukan kepada pejabat agama bagi mendapatkan nasihat daripada mereka yang lebih berilmu.

“Tinggallah suami akak itu. Macam bodoh sahaja. Isu boikot sampai ikat guna taklik. Sekarang yang susahnya dekat anak,” kongsi pengguna yang berang dengan sikap sang suami.

“Pergi ke jabatan agama dahulu, tengok lafaz taklik itu sah atau tidak. Keputusan bodoh memang semua orang pernah buat. Yang penting usaha perbetulkan.” Cadang pengguna lain.

Baca juga: Guna plastik sampah buat pelampung, lelaki disebat dan dipenjara lepas berenang dari Malaysia ke Singapura