Presiden AMANAH yang juga Ahli Parlimen Kota Raja hari ini melancarkan Operasi Bersepadu Membersih Rumah-rumah Mangsa Banjir (Ops Bersih) yang dianjurkan pasukan sukarelawan ARiF.
Dalam ucapannya ketika sesi perasmian jentera ARiF di Parlimen Kota Raja, Mohamad menyatakan penghargaan atas gerak kerja pasukan itu yang semakin berkembang sebagai pasukan sukarelawan dan rancak bergerak ke kawasan-kawasan banjir.
Beliau juga berharap agar ARiF dapat membentuk satu pasukan perubatan sendiri pada masa akan datang.
“Kita akan sampai ke peringkat menyediakan pasukan perubatan yang kita belum ada. Doktor dah ada dalam kalangan ARiF. Kita akan adakan pasukan perubatan pada masa akan datang.
“Saya gembira melihat ARiF sedang berkembang sekarang ini,” katanya dalam majlis pelancaran Ops Bersih hari ini.
Sementara itu menurut Pengarah ARiF Nasional, Johari Osman, program Ops Bersih yang digerakkan di seluruh Selangor itu sudah memasuki hari ketujuh, dan telah bermula sejak 20 Disember lalu.
Katanya, operasi tersebut disertai lebih 180 pasukan ARiF yang ketika ini sebahagiannya sudah pun berada di Hulu Langat, Shah Alam, Puchong dan Sepang.