Suruh ibu beli bahan ingat nak ikut Khairul Aming, rupanya buat resipi Lawak Kampus!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita bergelar ibu berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik gambar anak lelakinya sedang menyediakan minuman buat keluarga untuk berbuka puasa.

Mana tidaknya, di sebalik kesungguhan anak lelakinya untuk menyediakan minuman tersebut terdapat situasi mencuit hati yang turut dikongsikan oleh ibu terbabit menerusi hantaran di platform Threads itu.

Segalanya bermula apabila wanita dikenali sebagai Syira Shukri itu menerima pesanan daripada anak lelakinya agar membeli beberapa bahan termasuk buah-buahan untuk membuat air minuman selepas pulang kerja.

Ibu terbabit kemudian membelikan bahan berkenaan dengan andaian bahawa anak lelakinya yang masih kecil itu akan menyediakan minuman mengikut resipi pempengaruh terkenal iaitu Khairul Aming.

Namun siapa sangka, kanak-kanak terbabit sebenarnya mendapat idea daripada babak di dalam komik komedi iaitu Lawak Kampus yang memperlihatkan dua watak, Vanness dan Aditas menyediakan minuman tersebut.

“Budak ini pesan dekat Mummy, balik kerja nanti tolong belikan tembikai, oren dan air soda sebab dia nak buat minuman katanya. Ingatkan nak buat resipi KA (Khairul Aming). Rupanya buat resepi Lawak Kampus.

“Dia terliur tengok air dalam komik Lawak Kampus yang dibaca. Jadi dia ambil keputusan nak buat sendiri untuk berbuka hari ini. Kamu semua cubalah. Tengok resipi di muka surat 101, jilid 42. Selamat mencuba,” katanya.

Berdasarkan gambar tersebut, kelihatan kanak-kanak berkenaan memasukkan buah-buahan dan minuman soda di dalam pengisar sambil merujuk kepada komik yang turut diletakkan di atas meja.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna merasa terharu apabila komik yang cukup popular pada suatu ketika dahulu masih diminati sehingga kini oleh kanak-kanak ‘zaman sekarang’.

Ramai juga pengguna terhibur dan merasa lega apabila kanak-kanak terbabit tidak mengikuti langkah-langkah ‘mengisar’ dengan menggunakan mesin basuh seperti dipaparkan dalam babak komedi komik berkenaan.

Baca juga: Individu tegur mashaf Al-Quran romanize, respon terbuka Siti Nurhaliza curi perhatian