Seorang suami yang disyaki memukul isterinya sehingga parah dan menyebabkan keguguran di Ambangan Heights, Sungai Petani pada minggu lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman tersebut dikenakan ke atas suspek berusia 43 tahun itu di Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas permohonan polis dibenarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri.
Permohonan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.
Terdahulu, suspek yang mengenakan pakaian lokap berwarna ungu itu tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.30 pagi di mana beberapa ahli keluarga mangsa juga berada lokasi tersebut
Suspek yang dikehendaki berkaitan kes memukul isterinya sehingga mengalami keguguran dalam kejadian pada Khamis itu diburu polis sebelum berjaya diberkas di Alor Setar, petang semalam.
Difahamkan dalam kejadian itu, suspek didakwa memukul isterinya sendiri dengan menggunakan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu sehingga patah, lapor Kosmo.
Pasangan suami isteri itu dikatakan berkahwin di Selatan Thailand pada bulan Disember tahun lalu namun pernikahan mereka berdua masih belum didaftarkan secara sah di Malaysia.
Susulan mendatangkan kecederaan parah ke atas isterinya, suspek didakwa melarikan diri dengan membawa bersama barangan kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000 milik mangsa.
Selain mangsa yang merupakan penjawat awam berusia 39 tahun itu, suspek turut berdepan prosiding mahkamah lain kerana mencederakan bekas isterinya beberapa tahun lalu di Johor.
Baca juga: Gambar AI dijadikan ‘umpan’ jualan beg kuning, Siti Khadijah tak teragak-agak ambil tindakan