Tak nampak di mana Pas khianat, kata bekas Ketua Dewan Ulama

Oleh ARIF ATAN

Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menafikan parti berlambangkan hijau itu mengkhianati kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) apabila dalam masa sama turut menyertai Perikatan Nasional (PN).

Dia yang juga Ketua Sidang Assabiqun (veteran) Pas Pusat berkata, tindakan parti itu menyokong PN demi menyelamatkan umat Melayu Islam.

Jelasnya, piagam MN tidak terbatas kepada Umno dan Pas sahaja, sebaliknya turut mencakupi permuafakatan dengan orang Melayu Islam lain, yang berkongsi aspirasi sama seperti Bersatu.

“Saya pun tak nampak di mana Pas mengkhianati, walaupun tak sebut nama (Pas) tetapi kita faham. Seolah-olah kita khianati MN, sedangkan kita nak menyelamatkan umat Melayu Islam, sebab itu kita bersama-sama PN.

“Peliknya, yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri pun membabitkan Umno. Tak akan naik Presiden Bersatu itu tanpa sokongan Umno,” tempelaknya, lapor BH, hari ini.

Kelmarin, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk Pas.

Bercakap ketika diwawancara dalam program ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ menerusi dalam talian, Ahmad Zahid berkata, MN itu sendiri tidak pernah didaftarkan.

Ayah kepada Datuk Nurul Hidayah yang pernah ditegur hakim berhubung pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan dana Yayasan Akalbudi itu juga menyebut tentang pengkhianatan berulang kali terhadap Umno sewaktu mengulas berkenaan MN.

Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memperincikan maksud kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata, beliau menghormati pendirian Ahmad Zahid bahawa Umno dan BN tidak akan bekerjasama dengan parti lain pada PRN Melaka walaupun menganggap ia tidak popular.

Sehubungan itu, Mahfodz berharap Ahmad Zahid yang disifatkannya sebagai rakan baiknya itu mengkaji secara mendalam sebelum membuat keputusan supaya tidak menyesal di kemudian hari.

“Kena kaji betul-betul, kalau tak berjaya nanti jangan menyesal, semuanya melopong nanti kalau nak lawan tiga penjuru.

“Kalau masing-masing dengan ego masing-masing, maka akan merugikan umat Melayu Islam kerana kita bergabung itu bukan sahaja atas nama MN tapi atas nama perpaduan ummah,” ujar Mahfodz lagi.

Pas yang menganggap dirinya sebagai penyatu Melayu Islam dengan menegaskan usaha memperkasa MN dan mempertahankan PN dianggap banyak pihak hanya bermain dua ‘kolam’ politik.

Sikap Pas yang berada dalam dua gabungan parti politik iaitu MN dan PN itu dilihat cubaan mengambil peluang dalam proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Malah, ‘berkat’ pendirian politik Pas yang berbaik dengan Mahiaddin dan PN sebelum ini membolehkan Pas kembali menganggotai barisan jemaah menteri Kabinet selepas 43 tahun bergelar pembangkang.

Dalam kerajaan PN yang bertahan hanya 17 bulan sehingga 16 Ogos lalu, seramai lapan daripada 18 Ahli Parlimen Pas dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Jumlah pemimpin Pas dalam barisan Kabinet diterajui Ismail Sabri juga masih kekal dengan tiga menteri dan lima timbalan menteri.