Tak pasal-pasal dituduh guna pelaris, komen ‘padu’ tauke mamak ini buat ramai netizen setuju

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengguna media sosial mendakwa kebanyakan restoran mamak menggunakan pelaris makhluk halus yang “mencangkung di bekas makanan” bagi menarik pelanggan dan melariskan perniagaan.

Dakwaan itu disangkal seorang pengusaha restoran mamak yang menjelaskan bahawa kehadiran pelanggan adalah disebabkan kualiti perkhidmatan yang diberikan, bukan unsur mistik seperti didakwa.

“Hello. Pemilik kedai mamak di sini. Pandai-pandai je bang eh. Kedai mamak ni ramai sebab servis bang. Sudu, tisu, ais kosong semua baru kenyit mata dah sampai,” kata individu itu di media sosial.

Respon berkenaan mencuri perhatian warganet yang rata-rata tampil mempertahankan pengusaha restoran mamak.

Seorang pengguna Facebook, Aliff Liv Story menjelaskan lebih lanjut mengapa restoran mamak sentiasa mendapat kunjungan ramai, menekankan bahawa servis pantas dan mesra yang diberikan oleh restoran ini menjadi faktor utama menarik lebih ramai pelanggan.

Kami kongsikan ulasannya di bawah;

Kita belum sempat duduk, dia dah berdiri tepi meja ambil pesanan. Baru sembang dua ayat, air sampai. Baru sekali teguk, makanan sampai. Padahal orang penuh satu kedai.

Takde drama. Takde alasan. Semua bergerak.

Selepas itu kita masuk kedai orang kita sendiri. Sudu plastik berkerak. Nasi sikit macam ration time perang.

Nak ambil pesanan, tunggu staf yang entah dekat mana. Lampu pula warna warni, tapi dapur tak menyala.

Bila orang kata, “Eh, kenapa mamak sentiasa ada pelaris?”

Jawapan dia mudah sebenarnya. Bukan sebab mistik. Bukan sebab pelaris.

Sebab mereka faham satu benda. Orang lapar tak suka menunggu. Servis laju adalah tanda hormat. Konsisten lebih penting dari cantik

Mamak tak sempurna. Tapi mereka tak main-main bila bab kerja.

Kadang bukan rezeki tak sampai. Cuma cara kita layan orang. Buat orang tak nak datang balik.

Baca juga: “Kenapa buat macam i nak jual seluar dalam sendiri?” – Elizabeth Tan berang portal hiburan putar belit ayatnya