Terdengar bisikan untuk tembak orang, suspek remaja rupanya pernah jalani rawatan mental

Oleh MAISARAH AISYA

Insiden di negara jiran, Thailand telah menggemparkan rakyat Malaysia apabila penembak yang baru berusia 14 tahun ditahan selepas menyebabkan tiga orang terbunuh.

Tular di media sosial, video orang ramai berlari untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa tembakan rawak.

Kejadian berlaku pada tengah hari semalam ketika waktu puncak di pusat beli-belah Siam Paragon Mall.

Menurut Kosmo, polis berkata, seorang suspek penembak berumur 14 tahun telah ditangkap dan disoal siasat.

Perkhidmatan kecemasan berkongsi gambar anggota polis menggari seorang individu yang meniarap dan seorang lagi anggota polis merampas sepucuk pistol di atas lantai.

Terdengar bisikan halus

Suspek ketika ditahan mendakwa dia mendengar bisikan yang memberitahunya supaya ‘menembak orang’.

Bangkok Post melaporkan, perkara itu diberitahu remaja berkenaan ketika disoal siasat di Balai Polis Pathumwan.

Ketua Polis Negara, Jeneral Torsak Sukvimol berkata, remaja itu juga berada ‘dalam keadaan keliru’.

Tambhanya, remaja tersebut juga pernah menjalani rawatan kesihatan mental di Hospital Rajavithi.

Seorang pemuda yang berasa di lokasi kejadian menceritakan kembali detik hitam tersebut.

“Insiden itu berlaku dalam masa cuma beberapa minit. Kami melihat orang ramai berlari keluar. Kami tidak tahu apa yang berlaku

“Kami bergerak bersama-sama mereka dan mendengar beberapa das tembakan seperti enam atau tujuh das,” katanya.

Ini bukanlah insiden buruk pertama berlaku di Siam Paragon Mall, pada tahun 2015 terdapat insiden pengeboman yang mengorbankan 22 orang termasuk dua rakyat Malaysia.

Baca juga: “Saya dan pasukan bina perisai manusia”, TMJ kongsi detik insiden tembakan di Siam Paragon Mall