“Tergamak mentua minta suami kahwin lain, tak terima aku lahir anak bibir sumbing”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka bahtera rumah tangga yang baru sahaja dibina boleh hancur sekelip mata selepas melahirkan anak berbibir sumbing.

Kecewanya bukan kepalang, bekas suami wanita yang bernama Anis itu juga enggan menerima kenyataan bahawa anak mereka turut mengalami kecacatan penglihatan.

Sudahlah disalahkan suami, jiwa Anis malah semakin dirobek apabila ibu mentuanya juga tidak menolong menjernihkan keadaan dan enggan menyentuh cucunya sendiri.

Bagai tidak menerima ketentuan Tuhan, Anis tidak pernah menduga situasi itu boleh berlaku kerana ibu mentuanya cukup dikenali dengan imej alim dan kuat beragama.

Namun Anis enggan peduli dengan tanggapan suami atau keluarga mentuanya dan menganggap anak bernama Zulaikha itu sebagai anugerah Ilahi yang cukup sempurna.

Anis yang tetap bertahan meskipun didesak ibu mentua untuk bercerai itu sekali lagi diuji dengan dugaan begitu berat ketika umur Zulaikha sudah mencecah enam bulan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Anis ketika itu rela mengikut kemahuan ibu mentuanya yang ‘terbuka hati’ memperkenalkan seorang wanita untuk dijadikan madu.

“Bohong kalau tidak sedih sebaik mula-mula mendapat tahu suami ingin berkahwin lain. Namun apa pilihan yang saya ada,” kata Anis menceritakan pengalamannya.

Tetapi lain pula jadinya apabila suami yang mulanya berat hati untuk bermadu malah menceraikan Anis dengan talak satu dipercayai hasil campur tangan dari ibu mentua.

Selepas kejadian itu, Anis yang pernah bergantung kepada suami terpaksa belajar berdikari dan Zulaikha pula didaftarkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas nasihat rakan.

Zulaika kemudian dihantar untuk menyertai Program Pemulihan Dalam Komuniti bagi mengikuti proses pemulihan dan pembelajaran selepas mencecah usia lima tahun.

“Awalnya, semua terlalu sukar tetapi saya perlu kuat dan cekal demi anak. Bagi mencukupkan keperluan, saya perlu bekerja menyara keluarga.

“Alhamdulilah sejak dihantar ke sekolah pendidikan khas potensinya dapat dicungkil dan berupaya menguruskan diri sendiri.” Kongsi Anis.

Sudah 15 tahun berlalu, Anis telah lama memaafkan bekas suaminya walaupun lelaki berkenaan tidak lagi berhubungan dengan mereka dua beranak setelah sah bercerai.

Baca juga: Banyak songeh! ‘Influncer’ minta makan percuma, konon akan promosi di media sosial sebagai bayaran