Tiada elemen kongsi gelap, terguris hati jadi punca rumah Cikgu Chandra diserang

Oleh MALAYSIADATELINE

Motif kejadian khianat dan ugutan jenayah terhadap seorang aktivis, S. Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dan perasaan terguris.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, siasatan setakat ini mendapati kejadian yang berlaku di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong itu juga tidak melibatkan sebarang elemen kongsi gelap.

Pihak polis juga sudah berjaya menahan 12 suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Banting, Subang dan Serdang bermula 12 Mac hingga semalam.

Tangkapan dibuat menerusi operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, lapor Kosmo.

Dalam tangkapan itu juga, pihak polis berjaya menahan seorang individu dipercayai dalang utama kejadian tersebut manakala wanita yang ditahan merupakan isteri kepada salah seorang suspek.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian dan masih direman bagi membantu siasatan. Siasatan awal mendapati insiden itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati.

“Selain perasaan terguris terhadap mangsa. Semakan lampau mendapati lima daripada tujuh suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau, namun kesemua mereka didapati negatif dadah.

“Lima suspek termasuk wanita berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan di bawah Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Kosmo.

Tangkapan tersebut juga membawa kepada rampasan tiga buah kereta iaitu Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera selain dua motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha Y16 dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Mengulas lanjut, Datuk Shazeli memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun yang masih bebas bagi melengkapkan siasatan.

“Kita percaya kedua-dua kejadian ini berjaya diselesaikan hasil tangkapan yang dibuat setakat ini.” Jelasnya memberitahu perkembangan kejadian yang berlaku pada 10 Mac lalu.

Terdahulu dalam insiden kira-kira pada jam 3.30 petang itu, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang mendatangi lokasi kejadian dan disyaki menyerang rumah Chandra terletak di Taman Kinrara.

Suspek yang memakai topeng hitam itu kemudian bertindak memecahkan cermin belakang kereta jenis Perodua Viva milik aktivis berkenaan serta merosakkan jeriji besi di hadapan kediamannya.

Manakala dalam kejadian berasingan, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah Chandra pada 11 Mac sekitar pukul 3.20 pagi sebelum bertindak mencampakkan objek dipercayai bom petrol.

Akibat daripada tindakan tersebut, sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga milik Chandra musnah 100 peratus manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas disebabkan oleh kebakaran itu. 

Baca juga: Tak larat hantar parcel banyak sangat, pekerja kurier buka pandu lalu ambil parcel