Tiada jaminan jangkitan tidak meledak, rakyat Selangor perlu berjaga-jaga

Oleh KIM SYAZIE

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud mengingatkan bahawa tiada jaminan jangkitan Covid-19 yang mulai landai di Selangor, tidak meledak semula.

Beliau berkata, ini kerana lebih banyak gelembung pelancongan akan mula dibuka dan apabila sempadan rentas negeri dibenarkan, kadar kes jangkitan boleh meningkat semula.

“Saya nak ingatkan, tiada jaminan jangkitan ini tidak meledak semula. Kita tunggu awal Oktober bila sempadan rentas negeri sudah dibuka. (Tunggu) hasil daripada orang pergi Langkawi, pergi bercuti, kita tengok macam mana,” katanya dalam sidang medianya semalam.

Bagaimanapun Dr Siti Mariah berkata, kes Covid-19 boleh kekal diturunkan sekiranya orang ramai menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan tidak melanggar ‘pantang larang’ ketika di luar.

Sementara itu mengulas penurunan kes Covid-19 di Selangor, Siti Mariah menjelaskan biarpun saringan ujian dikurangkan, namun peratus daripada jumlah saringan itu juga berkurang.

Menurutnya, kadar kebolehjangkitan di negeri itu kini di bawah paras 1 iaitu bawah daripada ‘national level’.

Justeru katanya, vaksinasi di Selangor benar-benar memainkan peranan terbaik dalam memberi perlindungan kepada orang ramai.

“Kadar kesembuhan juga meningkat. Peratus keluar wad meningkat. Kadar kesembuhan sebanyak 97.1 peratus di mana kes aktif lebih kurang 10,000. Maknanya kalau masuk wad 100 orang, 97 yang keluar itu sihat.

“Walau bagaimanapun mengikut daerah, Petaling masih tertinggi dengan Hulu Langat dan Klang kerana besar kemungkinan disebabkan faktor kepadatan penduduk,” ujarnya