Seorang guru tuisyen berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik tangkap layar memaparkan pesanan mesej yang dihantar oleh ibu kepada anak muridnya.
Difahamkan, ibu terbabit meluahkan rasa kurang senang kerana guru tuisyen itu menegur anaknya berkaitan dengan isu luar daripada pelajaran iaitu masalah percintaan.
Ibu terbabit juga meminta supaya guru berhenti untuk menegur anaknya luar daripada masalah pelajaran kerana remaja berkenaan enggan datang ke kelas tuisyen sekiranya ia berterusan.
Hal ini membuatkan guru tuisyen itu meluahkan rasa kesalnya menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads memandangkan usahanya seakan-akan tidak dihargai oleh ibu bapa.
Difahamkan, teguran tentang masalah percintaan dibuat berikutan anak muridnya yang berada di Tingkatan Empat itu lebih memilih untuk bertemu janji daripada mengulang kaji pelajaran.
“Anak dia Tingkatan Empat pada tahun ini. Tetapi bundar nombor masih tak tahu. Dari Tahun Lima sekolah rendah sampaikan peperiksaan terakhir di Tingkatan Tiga, keputusannya gagal.
“Mak dia kata, ‘biasalah remaja’. Tetapi setiap hari daripada belajar, dia memilih keluar ‘dating’. Bila datang kelas pada minggu seterusnya, dia sudah lupa apa yang dipelajari sebelumnya.
“Kita naik angin sampai ke kepalalah sebab dia main-main. Kita tegurlah dia juga hal dating ini. Sumpah hanya tegur sebab sayang. Tetapi ibunya,” kesal guru tuisyen terbabit.
Guru terbabit merasa sangat kecewa kerana ibu muridnya itu datang daripada golongan kurang berkemampuan sehingga sanggup memberikan diskaun bayaran untuk kelas tuisyen.
Dalam perkongsian sama, guru itu menjelaskan bahawa caj dikenakan adalah sebanyak RM20 per jam bayar yang hanya menampung perbelanjaan minyaknya ke rumah pelajar.
“Pengajaran, ya memang banyak ibu bapa dan pelanggan bermasalah yang kita sanggup kurangkan harga untuk belajar. Maruah dipijak-pijak macam ini. Maaf cakap, memang tak buat buat amal jariah selepas ini.” Ujarnya.
