Tubuh majlis belia, kita perlu pandangan anak muda selesaikan isu belia di KL

Oleh KIM SYAZIE

Kementerian Wilayah Persekutuan digesa untuk menubuhkan satu majlis belia di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan pandangan anak muda berkaitan isu-isu yang melibatkan golongan belia di Kuala Lumpur, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk pihak pentadbiran DBKL melantik individu-individu yang berkelayakan bagi mengendalikan masalah-masalah belia di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, majlis seperti itu sudah pun ditubuhkan di kebanyakan negara-negara maju dan anak muda yang terlibat dalam majlis tersebut mempunyai penglibatan langsung di dalam perancangan-perancangan lokaliti dan masyarakat.

“Melihat kepada perbincangan di saluran media sosial kini, banyak idea-idea bernas yang dilontarkan dan kebanyakan daripada idea ini adalah dari mereka yang berumur 30 tahun dan ke bawah.

“Tambahan pula, idea yang diberikan kadang-kala bukan ciapan atau posting semata-mata.

“Ada daripada mereka yang sudah pun menyediakan rangka tindakan, terutama sekali berkenaan isu-isu sosial, ekonomi dan alam sekitar di ibu kota Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk kepada statistik yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan, hampir separuh penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada golongan belia.

Justeru menurut Lip Eng, penubuhan majlis belia di bawah pentadbiran DBKL ini sebenarnya mencerminkan demografik berkenaan.

Selain itu katanya, ramai aktivis yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di sekitar Kuala Lumpur yang layak menjadi sebahagian daripada majlis tersebut.

“Mereka ini sangat mahir dan arif dalam memahami keadaan dan permasalahan-permasalahan komuniti-komuniti di Kuala Lumpur.

“Badan-badan bukan kerajaan (NGO) diterajui oleh golongan belia seperti Yayasan Chow Kit dan Buku Jalanan Chow Kit yang banyak berbakti kepada komuniti-komuniti memerlukan di Kuala Lumpur. Pandangan mereka pasti akan membantu menjadikan Kuala Lumpur bandar yang maju,” katanya lagi.