Tular video anggota terima duit tepi, ini respon polis

Oleh KIM SYAZIE

Tular di media sosial satu rakaman dipercayai seorang anggota polis didakwa menerima wang daripada seorang individu.

Rakaman 46 saat itu memaparkan seorang anggota sedang menahan seorang individu di tepi jalan.

Individu tersebut dilihat sedang berborak dengan anggota tersebut sebelum menghulurkan wang kertas kepadanya.

Siasatan awal pihak polis mendapati kenderaan jenis MPV yang digunakan dalam video berkenaan mempunyai tanda panggilan ‘PK 56’ yang merupakan milik kontinjen Perak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, polis telah pun membuka siasatan dalaman berhubung video tular berkenaan.

Bagaimanapun, lokasi kejadian serta identiti anggota yang terlibat masih dalam proses pengesahan.

“Siasatan dalaman telah dibuka bagi mengenal pasti anggota yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, polis memandang serius perkara tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang boleh menjejaskan integriti pasukan.

Katanya, sehingga siasatan selesai, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Baca juga: Dikecam pilih hospital swasta, Norish Karman akhirnya dedah siapa sebenarnya bayar kos rawatan