Lagak samseng, sekumpulan pelajar senior bertindak menumbuk dan menerajang seorang remaja Tingkatan Tiga baru-baru ini.
Berpunca dari salah faham, kejadian yang tular di media sosial itu berlaku di Trek Motocross Bukit Mar Mar, Kemensah, Ampang Jaya, Selangor.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak, berkata kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada Isnin (8 Mei) lalu.
Kononnya berlaku selisih faham tidak hormat kepada sekumpulan pelajar senior Tingkatan Lima, mangsa telah diugut, ditumbuk dan diterajang.
Menurut Farouk, kejadian itu bermula pada jam 9.30 pagi di tangga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati.
“Mangsa ditumbuk di dada, dicekik dan ditendang di belakang oleh seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima.
“Mangsa diugut akan disiku di bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera.
“Kira-kira jam 3 petang mangsa diajak oleh lima suspek ke Bukit Mar Mar, Kemensah lalu dipukul,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, kepala, luka di kening kiri, rahang belakang tengkuk.
Hanya mampu terbaring sambil melindungi diri, mangsa yang keseorangan ketika dipukul itu masih mengalami kesakitan serta lebam.
Kesemua suspek sudah dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara maksimum setahun.
Pelajar yang terbukti terlibat juga bakal berdepan dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.
“Pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam perbuatan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap orang lain,” katanya.
Baca juga: Warga emas terdampar di tepi jalan, dipercayai meninggal kerana strok haba