Sebelum membeli sesuatu, penting untuk menilai kemampuan kewangan sendiri supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Jangan sampai keinginan mengatasi kemampuan, kerana apabila gagal membayar, bukan sahaja menimbulkan tekanan, malah berisiko berdepan dengan panggilan, mesej, atau kejaran daripada pihak pemungut hutang.
Menerusi Threads, seorang individu berkongsi mesej amaran berkaitan tunggakan bayaran SPayLater, dia mengakui bimbang dengan SMS bahawa lawatan ke alamat rumah akan dibuat jika gagal membuat pembayaran.
Dalam hantaran tersebut, pengguna berkenaan menjelaskan bahawa dia sudah menghubungi pihak terbabit untuk memohon bayaran secara ansuran, namun permintaannya ditolak dan diminta melunaskan tunggakan secara sekaligus.
Perkongsian itu menarik perhatian seorang bekas pemungut hutang Ron Asraff, yang tampil memberi pandangan
Menurutnya, mesej sebegini biasanya datang daripada agensi kutipan hutang pihak ketiga, bukan bahagian pemulihan kredit dalaman syarikat.
“Kalau tak mampu bayar sekarang, abaikan dulu. Debt collector tiada kuasa apa-apa, itu cuma ugutan. Jika mereka datang ke rumah, buat laporan polis dan nyatakan gangguan,” jelasnya.
Ron turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan firma guaman yang mengeluarkan surat tuntutan melalui laman direktori rasmi Majlis Peguam Malaysia.
Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa situasi berbeza jika melibatkan hutang bank, kerana ia boleh membawa kepada pembekuan akaun simpanan dan berisiko muflis.
“Ini respon berdasarkan mesej di atas. SMS ini datang daripada agensi kutipan. Cara agensi kutipan dan in house credit recovery tak sama.
“Agensi kutipan suka gunakan ugutan, menyamar sebagai polis, peguam dan kakitangan mahkamah.
“In house masih boleh bincang jika kita mampu. Kalau mampu bayar lah, kalau tak mampu nak layan untuk apa?
“Tetapi kes melibatkan hutang bank, jangan abaikan. Akaun simpanan boleh kena beku, jika dibiarkan boleh muflis,” jelasnya.
Baca juga: Guru didakwa gunting tudung pelajar kerana tak cukup labuh dipindahkan sekolah