1. Saya tidak pernah memperkecil-kecil jasa Umno kepada negara atau kemampuannya bangun semula selepas kalah pilihan raya umum 2018 walaupun saya adalah antara banyak orang yang berusaha keras melawan kleptokrasi dan menjatuhkan Umno.
2. Saya keluar Umno tahun 2015 setelah 32 tahun menjadi “card-carrying member” kerana sejak itu lagi saya mula nampak kebobrokan dan penyimpangan daripada perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
3. Secara peribadi, keyakinan saya mula hilang apabila saya memaklumkan kepada Mohd Najib Abdul Razak ketika dia Menteri Pertahanan mengenai aduan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) bahawa ada seorang pemimpin Umno menggunakan nama beliau (Najib) untuk mengutip “derma” daripada mereka. Reaksi Najib mengejutkan dan mengecewakan saya kerana seolah-olah saya membuat fitnah.
4. Saya juga tidak yakin dengan pemindahan aset Felda kepada Felda Global Ventures (FGV) pada tahun 2012 yang nampak sangat bertujuan mencari duit cepat dan membeli undi PRU 2013. Saya menulis menyuarakan kebimbangan mengenai kurang kelestarian IPO tersebut. Ia terbukti tepat dan Felda rugi besar kerana FGV.
5. Satu lagi peristiwa yang menyebabkan saya hilang keyakinan kepada kepemimpinan Umno adalah mengenai pembahagian dana yang dijimatkan daripada penarikan balik subsidi petroleum pada tahun 2006. Ia digunakan di bandar untuk projek raksasa sistem LRT/MRT tetapi tidak ada bukti yang kawasan luar bandar mendapat peruntukan yang sama. Jerami yang mematahkan belakang kerbau dalam hubungan saya dengan kerajaan Umno adalah skandal rasuah 1MDB.
6. Umno mendapat peluang keemasan untuk pulih semula apabila Mahiaddin Md Yasin merampas kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan kemudian menyerahkannya kepada Umno melalui Ismail Sabri Yaakob.
7. Buat beberapa ketika, Ismail Sabri mempunyai peluang terbaik untuk melakukan perubahan dan membina semula Umno. Takdir bukan saja menentukan dia menjadi timbalan kepada Mahiaddin tetapi juga berjaya mengalahkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam perlumbaan mendapatkan sokongan majoriti Dewan Rakyat sehingga dilantik menjadi Perdana Menteri.
8. Tetapi secepat dia dinaikkan Allah, dia juga “jatuh” apabila gagal membawa apa-apa perubahan sewaktu membentuk kerajaan. Dia bukan sekadar mengitar semula sisa yang ditinggalkan oleh Mahiaddin malah memburukkan lagi imej Kabinetnya dengan membawa balik watak-watak yang toksik.
9. Sedangkan rakyat jelata dan dunia menunggu perubahan dan pembaikan. Kalau dia hanya mengecilkan Kabinetnya, katakan kepada 25 orang, rakyat jelata dan dunia akan nampak dan mengalu-alukannya.
10. Dengan itu juga pudar semulalah harapan Umno kembali menjadi parti pilihan orang Melayu, khususnya generasi muda yang berpelajaran dan terdedah kepada maklumat atas talian yang pelbagai. Generasi ICT ini tahu siapa pemimpin Umno yang rasuah, yang berkata mencuri tidak salah dan yang sentiasa bernafsu berahi meraba di sana sini.
11. Semakin banyak orang Melayu menolak Umno bukan kerana namanya Umno. Mereka menolak Umno kerana pemimpinnya yang korup moral, pemikiran dan material. Alhamdulillah, masih banyak orang Melayu-Islam yang antirasuah dan tidak toleransi terhadap pemimpin politik yang kotor.
Wallahuaklam. Terima kasih.
———
Gambar atas: Ada sisa yang boleh diasingkan dan dikitar semula. Tapi ada yang terlalu toksik macam sisa nuklear yang wajib dijauhi.