Pakar kewangan, Azizul Azli Ahmad menasihatkan golongan peniaga atas talian dan kecil-kecilan supaya tidak membuat pinjaman kenderaan sekiranya masih belum stabil dari segi kewangan dan pendapatan.
Ia susulan pertanyaan seorang wanita adakah patut untuknya membuat pinjaman kereta baharu, dalam keadaan dia baru sahaja setahun berniaga dengan pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.
Menurut Azizul, tempoh setahun berniaga masih terlalu awal untuk menilai pola pendapatan sebenar, justeru langkah berhutang boleh menjadi beban sekiranya keadaan ekonomi berubah.
“Kenderaan memang keperluan, tetapi jenama kenderaan adalah kehendak kita sebenarnya,” katanya di Facebook.
Beliau turut menasihatkan peniaga supaya menumpukan kepada pembentukan tabungan dan aset terlebih dahulu.
Ujarnya, membeli kenderaan yang tidak perlu hanya akan menambah beban kerana keuntungan perniagaan akhirnya digunakan untuk membayar hutang kereta.
“Bila mula berniaga, belajar buat simpanan hasil berniaga agar kita nampak duit hasil niaga kita. Walau berniaga sendiri, tetap kena ambil upah bahagian kita. Jangan tukarkan upah ini menjadi liabiliti,” ujarnya.
Baginya adalah lebih baik untuk peniaga membeli aset seperti rumah, tanah, saham dan emas yang boleh menjana pendapatan jangka panjang.
“Dengan pendapatan RM3,000 hingga RM4,000, manfaatkan RM1,000 untuk beli rumah berharga RM200,000 hingga RM240,000 dan sewakan. Dengan pulangan sewa sekitar RM1,000 hingga RM1,200 sebulan, duit kita kekal menjadi harta,” jelasnya.
Beliau menegaskan, kesediaan dengan dana simpanan dan mengelakkan hutang tidak perlu merupakan langkah lebih baik bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi pada masa hadapan.
Baca juga: Tak mahu kain kafan biasa, Haliza Maysuri sanggup bayar RM999 untuk persiapan jenazah