Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipertikai, apabila mendakwa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan agar undi percaya terhadap perdana menteri tidak dilaksanakan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kenyataan Wan Junaidi itu bersifat ‘hear say’ atau dengar cakap sahaja, dan jika di dalam mahkamah, keterangan ‘hear say’ tidak boleh diterima.
Ini kerana katanya, Wan Junaidi tidak mendengar sendiri apa yang diperkatakan Agong, sebaliknya hanya mendengar hal tersebut dari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ismail Sabri adalah orang yang ada pertentangan kepentingan atau ‘conflict of interest’ dalam soal undi percaya di Dewan Rakyat kerana prosiding undi percaya itu menguji kepercayaan terhadap dirinya sendiri selaku Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hassan juga mengingatkan semula titah Yang di-Pertuan Agong supaya Perdana Menteri yang dilantik perlu membentangkan usul undi percaya secepat mungkin di Dewan Rakyat.
Jelasnya, dalam amalan undang-undang pentadbiran melibatkan kedudukan Ketua Utama Negara, jika ada suatu titah atau dekri baru daripada Agong, titah tersebut hendaklah dibuat secara bertulis dan dimaklumkan kepada umum melalui kenyataan media rasmi Istana Negara dan bukannya melalui perdana menteri ataupun Wan Junaidi.
Justeru tegasnya, nama baik Yang di-Pertuan Agong perlu dipelihara oleh perdana menteri yang ada sekarang dengan mengotakan kata dan janji.
“Usul Undi Percaya di Dewan Rakyat adalah sesuatu yang memenuhi konvensyen dan perundangan Perlembagaan Persekutuan.
“Sambil menghormati keputusan duluan yang pernah dibuat oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, tetapi jika dirujuk kepada teks Perlembagaan Persekutuan, sesungguhnya tidak ada barang sepatah perkataan pun yang menyatakan bahawa keabsahan Perdana Menteri boleh ditentukan secara SD.
“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan majoriti sokongan kepercayaan (Perkara 43(2)(a)) atau tidak ada majoriti sokongan kepercayaan (Perkara 43(4)) hendaklah ditentukan dan dilakukan di dalam Dewan Rakyat,” ujarnya lagi.