Suami kepada pelakon dan penyampai radio, Neera Azizi iaitu Muhammad Hafizi Mohd Noor digantung tugas selama enam bulan susulan penularan video sambutan ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah, baru-baru ini.
Tindakan tersebut diambil oleh pihak pengurusan agensi umrah, In Saff Travel & Tours selepas menjalankan siasatan menyeluruh ke atas Muhammad Hafizi yang bertugas sebagai ketua rombongan ketika kejadian itu berlaku.
Pihak pengurusan menerusi satu kenyataan rasmi berkata bahawa hasil siasatan mendapati wujudnya pelanggaran terhadap etika dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan syarikat terhadap setiap petugas.
Sehubungan dengan pelanggaran tersebut, Muhammad Hafizi yang bergelar mutawif itu digantung tugas selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta selain turut dikenakan tindakan tatatertib dalaman.
“Sepanjang tempoh tersebut, individu berkenaan tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang tugasan operasi atau membimbing Jemaah ke tanah suci Individu berkenaan turut dikenakan tindakan tatatertib dalaman.
“Ini termasuklah pengeluaran surat amaran rasmi dan sebarang pertimbangan pelantikan semula hanya akan dibuat tertakluk kepada pematuhan penuh terhadap ketetapan serta garis panduan syarikat.
“Pihak In Saff Travel menegaskan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesucian ibadah di Tanah Suci, etika, serta imej syarikat tidak akan dikompromi sama sekali,” kata pihak pengurusan dalam kenyataan itu.
Terdahulu, video memaparkan pasangan itu membuat pendedahan mengenai jantina bayi mereka di hadapan Kaabah telah menimbulkan perasaan kurang senang kerana disifatkan tidak menghormati tempat beribadah.
Neera kemudian tampil memohon maaf secara terbuka di atas kekhilafannya itu susulan menerima kecaman hebat berhubung isu tersebut dan bertindak memadam video berkenaan di semua akaun media sosial miliknya.
Baca juga: Dakwa produk boleh rawat penyakit, PHM tegur pempengaruh dan usahawan