Kalah bertanding bersama Pejuang pada PRU15, Eizlan Yusof kini sertai PAS pula?

Oleh KIM SYAZIE

Kalah besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu nampaknya tidak mematahkan semangat pelakon, Eizlan Yusof untuk bertarung dalam arena politik.

Menggegarkan dunia hiburan, bekas calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dikhabarkan bakal menyertai parti Perikatan Nasional (PN).

Menyertai blok komponen PN di bawah tiket Parti Islam Semalaysia (PAS), Eizlan bagaimanapun enggan mengulas dakwaan tersebut.

Khabar angin itu mula timbul setelah tular sekeping gambar memaparkan Eizlan bersama ahli kelab Motosikal Alternative Rising Club (ARC).

Menerusi gambar itu, Eizlan terlihat menerima kad keadlian ARC iaitu kelab motosikal yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Enggan mengesahkan berita tersebut, Eizlan bagaimanapun meminta agar semua pihak menunggu pengumuman yang bakal diadakannya kelak.

“Saya tak nak komen apa-apa mengenai perkara itu. Tunggu saja pengumuman berkaitan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku,” katanya.

Terdahulu, Eizlan merupakan salah seorang selebriti tanah air yang diumumkan menjadi calon PRU15 pada tahun lepas.

Dicalonkan untuk mewakili parti Pejuang, pelakon yang berusia 51 tahun itu bertanding di kawasan Parlimen Sabak Bernam.

Hanya menerima sebanyak 460 undian, Eizlan tewas besar dan turut kehilangan wang deposit bernilai RM10,000.

Baca juga: Tahan sampai setahun! Wanita ini ajar cara simpan durian dengan betul