Ibu bapa pengantin perempuan tak keluar belanja majlis, tapi nak semua duit salam kalut

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang gadis yang mahu melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi berhubung permintaan ibu bapanya telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, wanita terbabit mendakwa bahawa ibu bapanya meminta supaya semua wang ‘salam kaut’ yang bakal diperoleh pada hari majlis itu diadakan untuk diserahkan sahaja kepada mereka.

Berdasarkan perkongsian tular di platform X itu, pasangan tunang berkenaan memutuskan untuk mengadakan satu majlis sahaja memandangkan bakal pengantin lelaki adalah anak yatim piatu serta tidak memiliki adik-beradik.

Mereka berdua kemudian mengeluarkan wang masing-masing untuk menanggung 100 peratus perbelanjaan bagi memastikan majlis meraikan hari bahagia mereka itu berjalan dengan lancar.

Bakal pengantin perempuan bagaimanapun terperanjat apabila ibu bapanya menuntut seluruh hasil salam kaut tersebut sedangkan seluruh perbelanjaan majlis tersebut ditanggung sepenuhnya oleh dirinya dan tunang.

“Sebenarnya duit salam kaut ini siapakah yang lagi berhak dapat? Aku dengan tunang yang keluar duit, gabung satu majlis. Sebab belah tunang tinggal ibu dan bapa saudara sahaja. Tetapi yang jadi ibu adalah mak ayah aku.

“Mereka nak duit salam kaut padahal mereka tak keluar belanja langsung untuk majlis tersebut. Aku dan bakal suami sudah rancang nak guna duit itu beli keperluan rumah. Aku jadi malu dengan bakal suami.

“Sebab kami berdua kongsi duit buat majlis. Sudahnya ibu bapa aku nak ambil semua duit salam kaut. Aku sudah sehabis baik tak nak susahkan mereka dalam majlis ini. Tetapi mereka boleh memudahkan kami,” kesalnya.

Lebih memburukkan keadaan, ibu bapa berkenaan turut mencadangkan agar anak perempuannya menggadaikan sahaja mas kahwin yang diterimanya iaitu satu dinar emas untuk membeli barang keperluan rumah.

“Mereka cakap mas kahwin itu sahaja hak aku. Duit salam kaut adalah hak mereka.” Ujar gadis terbabit yang merasa kurang senang namun keliru sama ada benar jika mereka sememangnya berhak ke atas duit tersebut.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna bersetuju pasangan pengantin juga berhak ke atas wang salam kaut kerana mereka yang mengeluarkan belanja namun tidak salah jika mahu bersikap lapang dada dengan permintaan ibu bapa.

Beberapa juga pengguna tampil mengingatkan bahawa pengantin atau ibu bapa sepatutnya tidak mengharapkan wang daripada tetamu memandangkan itu bukanlah tujuan sebenar majlis perkahwinan dianjurkan.

Baca juga: Curi kad, makan di ‘fast food’, warganet kecam individu pertahankan pencuri