Perkongsian seorang wanita yang meluahkan kemarahan gara-gara sikap rakan serumahnya kerana tidak menjaga kebersihan peribadi telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial, baru-baru ini.
Mana tidaknya, hantaran itu telah mengundang rasa jijik orang ramai meskipun tidak pernah melaluinya sendiri memandangkan perkara tersebut berkait rapat dengan penjagaan kebersihan wanita yang sedang datang haid.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, wanita terbabit meluahkan rasa amarah dan loya apabila mengetahui rakan serumahnya merendamkan ‘menstrual cup’ atau cawan haid dalam bekas minuman.
Lebih memburukkan keadaan, rakan serumahnya malah memilih untuk menggunakan cawan kesukaan miliknya bagi merendamkan getah silikon yang mengumpul darah haid berkenaan ketika datang bulan.
“Musibatnya! Kantoi rakan serumah rendam dia punya cawan haid dalam cawan yang aku selalu minum. Loyalah, hari ini sampai enam kali aku muntah. Sebabnya teringat sebelum-sebelum ini, sedap ya aku minum dalam cawan itu.
“Padahalkan aku pernah tengok dekat sosial media orang lain kongsikan mengenai tindakan rakan serumah mereka rendam benda itu di dalam cawan juga. Sekali, tahu-tahu aku juga kena,” kesalnya dalam hantaran itu.
Dalam perkongsian sama, wanita terbabit turut memuat naik tangkap layar memaparkan perbualannya bersama rakan serumahnya yang memperlihatkan sikap individu terbabit tidak mengambil berat tentang kebersihan.
Individu terbabit bukan sahaja menyifatkan kejadian itu sebagai perkara kecil malah langsung tidak memohon maaf atas tindakannya yang telah menjejaskan keselesaan orang lain dalam kediaman tersebut.

Wanita itu memaklumkan bahawa rakan serumah yang dibenarkan untuk tumpang tanpa dikenakan bayaran tersebut juga pernah mengutuknya sebelum ini berhubung isu penjagaa kebersihan peribadinya.
“Dia pernah kutuk aku sebab pakai tuala wanita. Katanya tak bersih, habis yang dia buat ini bersih sangat? Haram jad*h. Kamu semua tengok dekat cawan haid itu. Macam ada kesan darahnya melekat.
“Rasa geli-geliman tak habis lagi ini. Ibu bapa aku pula marahkan aku sebab halau dia keluar. Macam kena mandrem (ilmu guna-guna).” Ujarnya dalam beberapa siri hantaran di platform tersebut.

Baca juga: Makanan di Hatyai sebenarnya tak semurah seperti dicanang pelancong Malaysia..