Sudah menjadi kebiasaan bagi pelanggan, setiap kali membeli kentang goreng atau makanan bergoreng, pasti akan disertakan sekali dengan sos sebagai pelengkap rasa.
Apabila set makanan tidak disertakan dengan sos seperti kebiasaan, ramai pelanggan pasti pelik malah terpaksa bayar harga lain untuk sos yang sepatutnya percuma.
Menerusi Threads, seorang wanita, Nurrul Maria meluahkan rasa tidak puas hati selepas dikenakan caj RM2 untuk sebekas kecil sos cili ketika membawa anaknya menikmati makanan di sebuah medan selera di sebuah pusat membeli belah.
Menurut perkongsian pengguna media sosial, Nurul Maria, anaknya telah memesan set nugget dan kentang goreng, namun terkejut apabila sos cili tidak disertakan bersama.
“Oleh kerana anak yang order, saya pergi semula ke kaunter. Saya tanya sama ada memang kena caj RM2 untuk sebekas kecil sos ini.
“Bukankah set nugget dan fries memang dapat sos?” katanya dalam hantaran di Threads.
Tambahnya lagi, pekerja kaunter memaklumkan bahawa setiap pesanan sos dikenakan bayaran dan itulah harga yang telah ditetapkan.
Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan warganet yang berpendapat caj tersebut tidak masuk akal, sedangkan ada rangkaian makanan segera lain memberikan sos secara percuma kepada pelanggan.
Rata-rata warganet menasihati wanita itu untuk segera melaporkan ia kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Jadilah warganegara yang bertanggungjawab, bawa resit pergi report kat KPDN. Biar orang lain tak terkena dan syarikat musibat tu bayar denda beribu.
“Tapi dekat resit tulis ‘extra sos’, maknanya memang set tu ada sos yang dah termasuk dalam harga nugget tu. Geram eh.
“Memang set tu tak ada bagi sos ke? Kalau kita yang minta extra, tak apa jugalah caj,” antara komen warganet.
Baca juga: Tular isu pengantin letak kod QR ganti salam kaut, ini nasihat Penasihat Kewangan