Warga asing raih pendapatan cecah RM4,000 sehari, sedia tempat sabung ayam di Klang

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang lelaki warga Indonesia didapati menjadikan satu kawasan tanah lapang sebagai kebun haram yang juga tempat perjudian sabung ayam di hadapan sebuah pangsapuri terletak di Klang, Selangor.

Lebih mengejutkan, lelaki terbabit turut mengubah suai papan tanda jalan yang pada asalnya dinamakan sebagai Lorong Pangsapuri Sri Angkasa ditukarkan kepada Lorong Iwan Pirang bersempena dengan namanya.

Kegiatan warga asing berusia 42 tahun itu terbongkar apabila menjadi antara 72 individu yang ditahan dalam serbuan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Kesemua mereka ditahan pihak polis menerusi Op Cakar yang dijalankan di sebuah kebun haram berhadapan Pangsapuri Sri Angkasa, Taman Bayu Perdana, Klang, Selangor, semalam, lapor Berita Harian.

Lelaki yang dikenali sebagai ‘Iwan Pirang’ ketika ditemui pihak media mengakui hanya berniat untuk memelihara ayam pada mulanya sebelum mendakwa diajak oleh rakan-rakannya untuk mengadakan pertandingan.

Warga asing terbabit turut mendakwa hanya memulakan kegiatan menyabung ayam ini sekitar beberapa bulan lalu dan kebiasaannya diadakan pada hari Ahad bermula kira-kira jam 3 petang sehingga 5 petang.

“Saya mulanya suka-suka menternak ayam, namun tidak menjadi sebelum ada rakan-rakan mengajak mengadakan sabung ayam ini. Keuntungan diperoleh tidak menentu.

“Namun boleh mencecah ke RM4,000 dalam sehari,” katanya memetik laporan Berita Harian yang mendakwa hanya menyediakan tempat sabung ayam ketika ditemui oleh pihak media di lokasi kejadian.

Kebun haram yang ditanamkan dengan pokok pisang itu turut dipagar dengan zink bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain dibina reban ayam termasuk tandas dan sebuah pondok kecil bagi menjalankan aktiviti tersebut.

Mereka yang menyertai aktiviti haram itu kebanyakannya tinggal di kawasan tersebut dan dikatakan membawa haiwan milik mereka sendiri untuk ‘bermain’ sabung ayam sambil bertaruh di kebun berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan bahawa pihak Polis Kontinjen Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian sabung ayam dan bola golek dalam serbuan Ops Cakar.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan anggota Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor pada jam 5.30 petang itu turut disertai oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor.

“Seramai 72 lelaki berusia antara 20 hingga 70 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dan sabung ayam di lokasi berkenaan. Tangkapan merangkumi dua lelaki bertindak sebagai penganjur.

“Selain 70 pemain terdiri daripada 41 warga tempatan dan 31 warga asing,” dedahnya yang memberitahu bahawa pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM55,075 dalam serbuan tersebut.

Polis juga merampas pelbagai peralatan perjudian, manakala pihak veterinar pula menemukan 14 ekor ayam hidup serta empat ayam mati yang dipercayai terkorban akibat aktiviti sabung.

Nilai pertaruhan untuk setiap perlawanan sabung ayam di dilaporkan boleh mencecah sehingga RM10,000 dan kesemua individu yang ditahan kini sudah direman di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan.

Tahanan reman dibuat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Baca juga: Tular aksi tidak senonoh, polis buka kertas siasatan program senaman aerobik