Warga emas terdampar di tepi jalan, dipercayai meninggal kerana strok haba

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang warga emas yang berusia 81 tahun ditemui tidak sedarkan diri di tepi jalan raya dengan keadaan tidak berpakaian.

Tiada sebarang kecederaan di badan, wanita warganegara Thailand yang dikenali sebagai Boon itu dipercayai meninggal akibat strok haba.

Boon ditemui oleh penduduk kampung di tepi sebatang jalan di wilayah Udon Thani, Thailand sebelum dimaklumkan kepada pihak polis, lapor The Thaiger.

Pegawai penyiasat dari Balai Polis Na Kha, Ratpol Mora Rat ditemani pasukan perubatan menemui mayat Boon dalam keadaan mengerekot seperti bayi.

Pakaian milik wanita itu termasuk kain batik, baju-T, tongkat dan beg plastik yang mengandungi beberapa persalinan turut ditemui di sisinya.

Tiada tanda pergelutan, hasil bedah siasat mendapati Boon mungkin meninggal dunia dua hari sebelum mayatnya ditemui.

Dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba, Boon dipercayai menanggalkan bajunya sendiri kerana terlalu panas dan ingin menyejukkan diri.

Tidak mempunyai masalah kesihatan, anak Boon memaklumkan ibunya berhasrat menziarahi saudara yang sakit di kampung lain. 

Menurut anaknya, Boon hanya berjalan kaki ke sana bersama tongkatnya dan tanpa kasut, amalan yang sudah biasa dia lakukan.

Boon merupakan seorang wanita yang dikenali di negara seberang kerana kerap berjalan berkaki ayam sehingga sejauh dua kilometer.

Baca juga: Mahfuz dilantik Pengerusi Peladang, Faiz pula kembali ke LKIM