Zahid Hamidi bebas dan dilepas dari 40 pertuduhan rasuah

Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid sebelum ini didakwa menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Presiden Umno berkenaan.

Mohd Yazid juga memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan utama, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri menerima suapan berjumlah SGD$13.56 juta berhubung sistem VLN pada 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, beliau turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperoleh untuk dirinya SGD$1,150,000, RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Gambar dari sosial media

Baca juga: Kos haji meningkat! Menteri Agama ingatkan bakal jemaah haji jangan bergolok-gadai, nilai kemampuan sendiri

Baca juga: Pelajar IPT buat rumah macam pusat sampah, pemilik luah sebab inilah ramai trauma nak sewakan pada pelajar