Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan bahawa kenyataan ‘dua tiga minggu lagi menjawat jawatan Menteri’ yang dibuatnya sebelum ini hanyalah sekadar gurauan semata-mata.
Menurutnya, kenyataan dibuat secara berseloroh ketika berucap di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah mengenai tempoh pelantikan beliau sebagai Senator yang akan berakhir tidak lama lagi.
Sehubungan dengan itu, Zambry yang juga merupakan Ahli Dewan Negara mengatakan bahawa kenyataan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bayangan akan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pihak media selepas majlis penutupan Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam, lapor Malaysia Gazette.
“Itu hanya gurauan saya semasa berucap tadi. Betul, saya bergurau sahaja. Soal rombakan kabinet, itu di bawah bidang kuasa Perdana Menteri. Mengenai pelanjutan tempoh sebagai Senator, itu pun kena tanya Perdana Menteri.
“Saya hanya menjalankan tugas saya sebagai Menteri selagi diberi kepercayaan,” katanya yang mengangkat sumpah sebagai Senator pada 3 Disember 2022 sebelum dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
Zambry kemudian dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi manakala tempoh keanggotaanya sebagai Ahli Dewan Negara pula dijangka akan berakhir pada 2 Disember depan.
Terdahulu, Zambry ketika berucap dalam Majlis Penutup FOI berkata beliau berharap agar Perdana Menteri terus memberi sokongan kepada penganjuran festival itu untuk tahun- tahun akan datang meski nasibnya sebagai menteri Kabinet belum diketahui.
Kenyataan Zambry yang juga bergelar Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu secara tidak langsung telah menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat.
Sekadar info, Zambry mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada tarikh sama dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Baca juga: Rombakan Kabinet dalam masa terdekat? Ini respon Anwar