Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri menzahirkan rasa syukur selepas mendapat khabar bahawa isteri dan anak-anaknya masih hidup.
Difahamkan, khabar gembira tersebut diterima oleh aktivis kemanusian berkenaan selepas lapan hari keluarganya yang tinggal di Gaza, Palestin tidak dapat dihubungi.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, Nadir menyifatkan perkhabaran yang disampaikan oleh isterinya iaitu Reem Al-Minawi itu sebagai hadiah hari jadi.
Bapa yang berusia 36 tahun itu turut memuat naik gambar memaparkan dua orang kanak-kanak dipercayai anaknya untuk menunjukkan keadaan terkini keluarganya.
“Alhamdulillah hari ini saya diberi dua hadiah yang besar. Yang pertama ialah ahli keluarga baru untuk kami, adinda Saufi yang diberi amanah menjaga adik perempuan bongsu kami Hannan.
“Yang kedua ialah gambar ini yang saya dapat lewat jam 1 pagi semalam, khabar bahawa anak-anak dan isteri saya masih hidup setelah 8 hari cuba berhubung dengan mereka,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, pemilik nama sebenar Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman itu turut memaklumkan bahawa ahli keluarganya kini berada di Selatan Gaza.
Terpaksa menempuh perjalanan yang sangat mencabar, isteri dan anak-anaknya perlu berhijrah ke Selatan Gaza dalam usaha menyelamatkan diri dari kawasan konflik.
“Keluarga saya berada di selatan Gaza yang agak tenang dan perjalanan ‘maut’ yang mereka lalui untuk sampai ke sana cukup untuk dibuat filem lengkap.
“Gaza semakin genting, keadaan jauh lebih teruk dari awalnya. Tetapi untuk hari ini, alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.” Ulas aktivis kemanusiaan itu lagi.
Terdahulu, Nadir sempat berkongsi perjuangan isteri yang merelakannya untuk terus kekal di Malaysia meskipun perlu menjaga lapan anak di Gaza tanpa suami di sisi.
Sekadar info, Nadir adalah rakyat Malaysia yang menikahi Reem iaitu seorang balu pejuang Palestin yang mempunyai lima orang anak pada Mei 2016 lalu.
Nadir juga adalah pemilik ijazah sarjana muda Sains Marin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum menyambung pengajiannya di Universiti Islam Gaza dalam bidang Syariah.
Baca juga: “Syahir menyanyi bukan kerjaya awak” – Mas Idayu kasihan lihat Shila Amzah ‘all out’ persembahan