Siapa sangka, seorang wanita berusia 28 tahun tergamak melemaskan bayi yang baharu sahaja dilahirkannya sendiri ke dalam mangkuk tandas.
Tidak sempat melihat dunia, bayi itu malangnya menghembuskan nafas terakhir sejurus ibu kandungnya bertindak menjirus mangkuk tandas berkenaan dengan air.
Difahamkan, selebriti media sosial yang dikenali sebagai Zhafira itu melakukan aksi pembunuhan tersebut ketika bercuti di Bali, Indonesia bersama teman lelaki baharunya.
Kejadian ngeri berkenaan dikatakan bermula apabila Zhafira mengalami sakit perut sehingga memulas yang memaksanya berulang-alik ke bilik air untuk beberapa kali.
Tidak lama kemudian, Zhafira yang sedang berada di dalam tandas bilik hotelnya itu dapat merasakan ada sesuatu (bayi) keluar dari farajnya kira-kira pada pukul 8 pagi.
Berniat untuk menyembunyikan kelahirannya dari pengetahuan teman lelaki, Zhafira berusaha menjirus mangkuk tandas tersebut berulang kali agar bayinya tenggelam.
Menyedari percaturannya tidak menjadi, Zhafira kemudian membungkus bayi yang sudah tidak bernyawa itu di dalam plastik sebelum disorok di dalam almari baju.
Berdasarkan laporan Liputan 6, tertuduh iaitu pemilik nama sebenar Zhafira Devi Liestiatmaja itu adalah seorang model asal Semarang, Jawa Tengah, Indonesia.
Sebelum berangkat pulang dengan menaiki pesawat, Zhafira sempat membuang bungkusan plastik itu ke dalam tong sampah yang disediakan di lapangan terbang.
Perbuatan kejam wanita tersebut akhirnya ‘kantoi’ selepas pekerja pembersihan di lapangan terbang menemui bungkusan berisi mayat yang masih berdarah itu.
Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang Antarabangsa Bali Ngurah Rai (Denpasar), polis berjaya mengenal pasti identiti pembuang bayi.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Wilayah Kawasan Bandara Ngurah Rai, AKBP Ida Ayu Wikarniti yang memaklumkan Zhafira telah berjaya ditahan pada 19 Oktober lalu.
Bakal berdepan dengan hukuman penjara selama sembilan tahun, Zhafira mengaku melakukan jenayah itu untuk menyembunyikan kehamilan daripada teman lelakinya.
Zhafira juga tidak tahu siapakah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkannya itu berikutan dirinya pernah ditiduri oleh ramai lelaki lain sebelum bertemu kekasihnya.
“Kekasihnya yang sekarang baru sahaja berhubungan dengan pelaku selama empat bulan. Jika dilihat daripada umur kandungan, pelaku disyaki hamil anak lelaki lain.
“Demi merahsiakan kehamilannya, dapat disimpulkan bahawa pelaku sebenarnya sengaja mengakhiri nyawa anaknya,” jelas Ida Ayu memetik laporan Liputan 6.
Baca juga: Kurang tawaran selepas pemergian Abam, Achey terpaksa tumpang populariti anak?