Nama seorang aktivis tempatan, Yusery Yusoff kini sedang menjadi topik perbualan hangat selepas didakwa menyeleweng duit sumbangan rakyat Malaysia.
Difahamkan, orang ramai baru-baru ini telah mendermakan duit sebanyak RM53,065 bagi membantu membiayai kos guaman melibatkan kematian arwah Dea Maisarah.
Mewakili keluarga arwah mengumpul dana, duit sumbangan orang ramai itu disalur kepada akaun syarikat yang ditubuhkan Yusery Yusoff iaitu YY Community Centre.
Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili keluarga Dea Maisarah hanya menerima bayaran RM20,000 sedangkan kos guaman telah ditetapkan sebanyak RM40,000.
Manakala daripada jumlah baki bernilai RM33,065 itu, Yuseri Yusoff dikatakan hanya menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada pihak keluarga arwah Dea Maisarah.
Perkara itu didedahkan oleh rakan aktivisnya, iaitu pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Mr Wan Cai Official menerusi akaun Facebook miliknya.
Menerusi hantaran tersebut, Mr Wan Cai tampil menuntut penjelasan daripada Yuseri mengenai keberadaan baki sumbangan orang ramai yang berjumlah RM28,000 itu.
“Kutipan kos duit guaman kes adik Dea Maisarah, jumlah yang dapat ialah sebanyak RM 53,065. Semua duit orang sumbang terus masuk ke akaun bank atas nama Captegis Sdn Bhd.
“Jangan buat main dengan duit sedekah orang yang dah meninggal dunia. Kalau kau ‘sebat’ baki duit sumbangan itu, ibarat kau sudah isytihar perang dengan aku,” tulisnya.
Menurut Wan Cai, pihaknya telah memberi tempoh selama tiga hari kepada Yuseri untuk bersemuka namun aktivis itu memilih untuk bersembunyi di dalam pejabatnya.
Oleh sebab itu, Wan Cai membuat keputusan untuk mengumpulkan semua bukti dan maklumat sebelum perkara ini didedahkan pada umum bagi mendapatkan keadilan.
“Lain-lain kes aku tak nak ambil peduli. Yang aku nak tahu fasal sumbangan kes kematian adik Dea Maisarah. Tiga hari aku bagi kau peluang untuk bersemuka.
“Tunggu kau jelaskan kepada aku tentang hal ini. Tetapi kau pilih untuk sembunyikan diri di dalam pejabat. Kau kena ingat, kes anak syurga ini di bawah tanggungjawab aku dan team.” Ulasnya lagi.
Selain menyeleweng baki sumbangan, Yusery juga didakwa telah menukarkan nama syarikatnya daripada YY Community Centre kepada YYCC Captegis Sdn. Bhd.
Sekadar info, Dea Maisarah adalah kanak-kanak berusia 10 tahun yang dilaporkan ‘tewas’ ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Julai lalu.
Kematian Dea Maisarah bagaimanapun dinyatakan sebagai ‘Brought in Dead’ (BID) dalam permit pengebumian sedangkan arwah masih hidup ketika dibawa ke hospital.
Bapa Dea Maisarah iaitu Bada Hussein kemudian berniat mahu membawa kes ini ke muka pengadilan bagi merungkai punca sebenar di sebalik kematian anak gadisnya.
Yuseri Yusof pula mula dikenali ramai sejak menuntut keadilan ke atas kematian Baby Syifa iaitu anaknya yang didakwa maut akibat penganiayaan ketika berada di pusat asuhan.
Aktivis itu kemudian menubuhkan persatuan YY Community Centre bertujuan untuk membantu menyelesaikan masalah yang lebih kurang sama dengan situasi dialaminya.
Baca juga: Ramai terkejut tonton babak Janna Nick tendang Sheila Mambo