Apa yang ‘Bang Mat’ dah buat selepas setahun jadi Menteri?

Oleh MAISARAH AISYA

Sudah setahun dalam pentadbiran, pastinya ramai ingin tahu apa yang berjaya dicapai oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Setiausaha Akhbar kepada menteri di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Adeysham Nor mengimbas kembali apa yang telah berjaya dilaksana oleh Mohamad Sabu.

Di bawah adalah perkongsian tersebut.

SIRI 1: Setahun pentadbiran Mohamad Sabu di KPKM (Bab tata kelola)

5 Disember ini genap setahun Bang Mat ‘clock in’ di Wisma Tani Putrajaya sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Tentunya topik yang popular dibincangkan pada waktu ini adalah apa yang Bang Mat dah buat sebagai Menteri di KPKM?

Ramai yang telah memperkatakan kejayaan Bang Mat dalam menguruskan hal penamatan subsidi ayam.

Bahkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan dasar Kongres Keadilan baru-baru ini turut memuji Bang Mat berkenaan hal apungan harga ayam.

Kata PMX “saya pun tak tahu dia buat macam mana, jadi bukan sebarang (orang) Mat Sabu ni..”.

Berpeluang bersama Bang Mat sepanjang setahun ini, ada beberapa inisiatifnya yang tidak diketahui umum.

Namun pada saya inisiatif ini wajar dihebahkan kerana bertepatan dengan hasrat PMX untuk memantapkan tata kelola kerajaan. Inisiatif itu ialah:

Pewartaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sebagai Badan Awam dalam Akta SPRM.

Dengan pewartaan ini, SPRM boleh menyiasat kedua-dua badan ini pada bila-bila masa yang diperlukan.

Jika sebelum Bang Mat menjadi menteri isu kelewatan penghantaran baja menjadi masalah kepada pesawah sehingga ditegur Ketua Audit Negara.

Justeru pada tahun 2023 Bang Mat telah melancarkan Program Zero Late Delivery baja NAFAS. Alhamdulillah setakat hari ini, tidak kedengaran isu kelewatan penghantaran baja.

Antara isu utama yang dibangkitkan oleh Bang Mat pada awal pentadbirannya adalah berkenaan ketiadaan Sistem Bersepadu Data Raya Sektor Pertanian Negara.

Alhamdulillah sudah nampak sedikit cahaya di hujung terowong bila mana pada tahun hadapan akan bermula Bancian Pertanian Negara.

Kertas cadangan untuk Kerajaan Negeri membuat enakmen pendaftaran petani sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri bersama Exco Pertanian beberapa minggu lepas.

Melalui penggubalan enakmen ini nanti, kerja-kerja untuk mendapatkan data raya pertanian akan lebih mudah kerana semua petani wajib mendaftarkan usaha mereka dengan pihak kerajaan.

Masih banyak yang akan dikongsikan mengenai pencapaian Mohamad Sabu dalam menambah baik isu yang terjadi di bawah bidang KPKM.

Baca juga: “Kalau macam ni jawapan MB Kelantan, aku pun boleh jadi MB!”