Wanita miliki 3 rumah di usia 37 tahun, amal konsep ‘jangan beli kecuali ada promosi’

Oleh WAN SITI AMINAH

Bermodalkan sikap dan disiplin yang tinggi dalam berbelanja, seorang wanita berusia 37 tahun telah berjaya memiliki tiga buah rumah sebagai aset serta pelaburan.

Hal ini membuatkan warganegara Jepun yang mencari rezeki sebagai ejen hartanah iaitu Saki Tamogami cukup dikenali sebagai wanita paling jimat cermat di negaranya.

Tampil berkongsi rahsia membeli tiga buah rumah, Tamogami mengakui sudah mula amalkan disiplin kendiri yang ketat di dalam berjimat cermat sejak berumur 19 tahun.

Berjaya mengekalkan disiplinnya sehingga kini, Tamogami turut mengamalkan prinsip ‘jangan beli kalau tiada jualan murah!’ dalam berbelanja dan ianya terbukti berkesan.

Difahamkan, wanita berkenaan mula memupuk amalan berjimat cermat dengan tidak membeli pakaian sebaliknya mengenakan baju terpakai dari keluarga dan rakannya.

Tamogami juga akan menjaga semua pakaian dimilikinya itu dengan begitu rapi agar tidak rosak dan tentunya supaya tetap boleh digunakan dalam tempoh yang lama.

Akhirnya pada usia 27 tahun, Tamogami berjaya membeli sebuah rumah di Saitama, utara Tokyo, pada harga 10 juta yen (RM347,000) menggunakan gaji dan simpanannya itu.

Wanita terbabit juga pernah muncul dalam rancangan televisyen Jepun iaitu ‘Happy! Bomby Girl’ di mana amalan berjimat cermatnya itu didedahkan kepada orang ramai.

Rupanya-rupanya, Tamogami hanya membelanjakan wang sebanyak 200 yen sehari (sekitar RM6.40) untuk makanan di mana wanita terbabit sering memasak di rumah.

Dengan bajet sekecil itu, Tamogami mampu membeli bahan mentah murah seperti sayur dan juga protein contohnya potongan ikan salmon yang dibeli dengan harga diskaun.

Wanita itu juga berjimat dengan tidak menghabiskan wang untuk solekan atau gaya rambut sebaliknya menjadikan mahkotanya itu sebagai salah satu sumber pendapatan.

Cukup untuk menampung perbelanjaan makanannya selama dua minggu, Tamogami meraih hasil sekitar 3,100 yen (RM99) dengan menjual rambutnya yang panjang itu.

Meskipun tidak menafikan bahawa cara hidupnya itu mencabar, Tamogami mengaku sudah terbiasa malah puas melihat wang dalam akaun banknya semakin bertambah.

Wanita itu juga membayar pinjaman bank membeli rumah menggunakan pendapatan sampingan diperoleh dengan menyewa dua bilik di dalam kediaman pertamanya itu.

Beberapa tahun kemudian, Tamogami berjaya membeli rumah kedua pada harga 18 juta yen (RM625,000) dan kediaman ketiganya pada harga 37 juta yen (RM1.28 juta).

Baca juga: Ramai terkejut bendera Malaysia dinaikkan di Bandar Chicago, lagu Negaraku turut bergema