Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum pertimbangan kerajaan untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahli KWSP di bawah Malaysia Ke-13 (RMK13).
Difahamkan, cadangan tersebut sedang diteliti namun sebarang keputusan berhubung perlaksanaan skim hanya akan dibuat selepas sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan dilakukan.
Pertimbangan yang sewajarnya terutamanya melibatkan kepentingan jangka panjang untuk ahli KWSP juga akan mempengaruhi keputusan institusi kewangan berkenaan sebelum melaksanakan skim tersebut.
Bagaimanapun setakat ini, peraturan dan mekanisme yang sedia ada berhubung pengeluaran caruman KWSP akan kekal seperti biasa sebelum maklumat lanjut mengenainya dimaklumkan kelak.
“Cadangan ini sedang diteliti dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan dan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang ahli.
“Buat masa ini, peraturan dan mekanisme pengeluaran KWSP kekal seperti sedia ada. Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa,” kata pihak KWSP dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kerajaan melalui RMK13 memaklumkan akan meneroka satu mekanisme lebih baik dalam menjamin pendapatan berterusan selepas bersara kerana simpanan mencukupi boleh menjamin kebajikan rakyat di usia tua.
Berdasarkan laporan RMK13 diterbitkan oleh Kementerian Ekonomi, mekanisme itu akan membolehkan caruman KWSP diasingkan kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.
“Melalui usaha ini, golongan pekerja akan dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan di samping menerima pencen bulanan pada umur persaraan,” jelas laporan tersebut.
Perlindungan sosial untuk semua golongan pekerja juga akan diperkukuhkan bagi memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh termasuk ke atas risiko kehilangan pekerjaan atau kemalangan.
Perundangan khusus untuk pekerja gig juga akan digubal untuk menjamin kebajikan mereka yang mencari rezeki dalam bidang tersebut termasuklah hak untuk bekerja dengan suasana selamat, sihat dan kondusif.
Baca juga: Disangka bawa baju ‘spare’, rupanya pekerja seludup barang curi dalam beg sandang