Wanita mengaku kerja kilang direndahkan mak cik bawang, terdiam bila tahu jawatan sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsikan pengalamannya yang telah dipandang rendah hanya kerana mengakui bekerja kilang ketika ditanya mengenai kerjayanya.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, wanita itu mengakui tidak mendedahkan jawatannya di tempat kerja namun tidak menyangka malah dipandang rendah oleh individu berkenaan.

Difahamkan, individu terbabit merasa rugi apabila wanita itu hanya memilih berkerja kilang walaupun memiliki latar belakang berpendidikan tinggi malah dikatakan sempat menyindir memandangkan anaknya bergelar penyelia.

“Hari itu, ada seorang mak cik ini bertanya saya kerja apa. Saya beritahulah kerja kilang sahaja tanpa sebut jawatan. Dia cakap, ‘Lah, belajar tinggi-tinggi. Kerja kilang sahaja. Anak mak cik kerja penyelia’.

“Konon-konon nak merendahkan saya. Dia ingat kita ini ‘cikai-cikai’ sahaja. Tiba-tiba bapa saya datang, beritahu mak cik itu saya kerja kilang dalam makmal. Bertugas sebagai ahli kimia. Terus malu mak cik itu,” kongsinya.

Dalam hantaran sama, wanita itu memaklumkan bahawa perkongsian tersebut dibuat untuk menyeru orang ramai terutamanya pekerja kilang agar tidak merasa malu walaupun dipandang rendah.

Wanita itu juga berharap agar masyarakat juga berfikiran lebih terbuka dan tidak perlu merendahkan orang lain yang mencari rezeki yang halal tanpa mengira pekerjaan dan latar belakang mereka.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati ramai pengguna Threads pernah melalui pengalaman serupa dan berkongsi kisah mereka apabila dipandang rendah berhubung pekerjaan.

Beberapa individu bagaimanapun turut meluahkan rasa hairan dan menganggap wanita itu sengaja merumitkan keadaan sedangkan boleh sahaja berlaku jujur sekiranya tidak mahu dipandang rendah.

“Ada mak cik cakap, ‘Awak belajar sampai ijazah kan? Kenapa kerja dekat pam minyak petronas? Dalam hati, cakap saya kerja dekat ‘pam’ yang ada proses penapisan minyak dan gaslah mak cik,” kongsi seorang pengguna.

“Apa tujuan kau cakap kerja kilang? Sengaja nak cetuskan isu. Orang sekadar nak berbasa-basi pun cari pasal. Konon terpaling berilmu tetapi tiada ilmu bergaul dengan beradab,” kesal pengguna lain.

Baca juga: Wanita terkejut sos cili dicaj RM2, dakwa tak masuk akal untuk sebekas kecil