Ahli keluarga Suri Narudin yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu menafikan suspek utama kes penemuan mayat wanita dalam beg di Jalan Pedas Linggi, Rembau adalah suami sebaliknya hanyalah kekasih mangsa.
Perkara itu dijelaskan oleh anak saudara kepada Suri, 53, yang hanya mahu dikenali sebagai Sasha, 38, dengan maklumkan bahawa terdapat salah faham mengenai status sebenar hubungan mangsa dan suspek.
Kekeliruan tersebut dipercayai timpul selepas seorang anak kepada suspek menyatakan dalam laporan polis berkaitan dengan kes itu bahawa kedua-duanya adalah pasangan suami isteri, lapor Berita Harian.
Dalam pada itu, Sasha memaklumkan bahawa suspek sememangnya dikenali keluarganya sebagai individu rapat yang sering bergaul dengan mereka dan tidak pernah mencetuskan sebarang syak wasangka.
“Hubungan mereka boleh saya katakan sebagai kekasih sahaja dan belum berkahwin. Jika mereka berkahwin, perkara itu tidak akan dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga.
“Sehari selepas saya buat laporan polis di Balai Polis Ampang pada 15 Disember, anak kepada suspek ada juga buat laporan polis berkait dengan kes ini. Dalam laporan polis itu, dinyatakan mereka sudah berkahwin.
“Tetapi daripada pihak keluarga ibu saudara saya, kami tahu mereka belum berkahwin. Itu yang berlaku salah faham,” katanya ketika ditemui pihak media di Ampang memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Sasha mengakui suspek utama berusia 51 tahun itu disifatkan sebagai seseorang yang disenangi oleh kanak-kanak kerana pandai mengambil hati mereka termasuklah anak-anaknya sendiri.
Wanita itu bagaimanapun tidak menyangkal bahawa suspek juga ada kalanya bersikap panas baran namun tidak pernah sehingga bertindak secara fizikal sebelum ini terutama terhadap ibu saudaranya.
Sasha juga tidak menolak kemungkinan wujudnya salah faham antara ibu saudaranya dengan suspek sebelum kejadian berlaku namun enggan mengulas lanjut kerana menghormati siasatan dilakukan pihak polis.
“Dia juga selalu bantu ambil dua anak saya pulang dari sekolah. Saya memang mengenalinya kerana hampir enam tahun ibu saudara dan dia berkawan. Sebagai keluarga, kami memang percayakannya.
“Sebab dia bukan orang asing dalam hidup kami. Mungkin boleh dikatakan ada perselisihan faham sekali sekala berkaitan masalah kewangan, tetapi saya tidak berani untuk ulas lebih lanjut.
“Ibu saudara jarang bercerita masalahnya cuma sekali sekala ada dia mengadu apabila berselisih faham dengan suspek. Tetapi tiada yang serius,” jelasnya berhubung hubungan Suri dengan suspek utama kes tersebut.
Pada Khamis lalu, mayat seorang wanita ditemui dalam sebuah beg di belakang sebuah rumah kosong di Jalan Pedas Linggi, Rembau yang dipercayai berkait dengan laporan kehilangan seorang wanita dibuat di Ampang.
Namun ahli keluarga Suri yang hadir ke Hospital Rembau kelmarin tidak dibenarkan membuat pengecaman fizikal kerana keadaan mayat yang tidak mengizinkan sebaliknya dilakukan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Padanan DNA dibuat dengan sampel diambil daripada seorang ibu saudara Sasha yang juga kakak kepada Suri dan keluarga dimaklumkan keputusan ujian berkenaan mengambil masa berminggu sehingga berbulan.
“Kaedah terakhir adalah pengecaman melalui padanan DNA dan kami cuma mampu tunggu keputusan ujian itu. Kami serahkan siasatan kepada pihak polis dan hanya mahukan kebenaran serta keadilan untuk ibu saudara.
“Saya berharap pelaku diberi balasan setimpal.” Ujar Sasha yang memberitahu bahawa Suri pernah berpesan kepada keluarganya di Sarawak supaya kebumikannya di sebelah pusara anak tunggal perempuannya sekiranya meninggal dunia.
Difahamkan, Suri yang juga usahawan itu pernah dua kali berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan berstatus orang kelainan upaya namun meninggal dunia ketika berusia 11 tahun kira-kira pada 10 tahun lalu.
Baca juga: Menteri Indonesia akhirnya mohon maaf lepas teruk dikecam remehkan bantuan Malaysia ke Aceh