Johan & Ozlynn pernah hantar dua anak masuk rumah anak yatim, rupanya ini sebabnya

Oleh MAISARAH AISYA

Ibu bapa masing-masing ada cara tersendiri untuk mendidik anak dan tiada satu pun yang serupa serta setiap pendekatan unik, penuh warna dan cerita tersendiri.

Buat pasangan selebriti, Johan dan Ozlynn mempunyai cara tersendiri untuk membesarkan anak.

Menerusi temubual bersama Kart SeeNI, pasangan tersebut mendedahkan pernah menghantar dua anak mereka Sodiq dan Haziq ke rumah anak yatim.

“Kenapa hantar anak dekat rumah anak yatim, sebab dia suka main kejar-kejar dan dia tak reti nak kongsi makanan. Dia tak suka sisa orang walaupun dengan adik-beradik sendiri.

“Kalau awak pegang cawan dia pun, walaupun pegang di tempat yang sama, bagi dia itu sudah dikira kotor,” kongsi Ozlynn dalam temu bual tersebut,

Tambah Johan, dengan menghantar kedua-dua anaknya ke rumah anak yatim, mereka mula belajar erti berkongsi dan tanggungjawab menjaga adik.

“Jadi bila hantar dan lihat impaknya, bila dia pergi ke sana, baru dia sedar dia kena berkongsi dengan semua orang.

“Makan dalam talam, kemudian dia kena jaga adik dia. Sebab itu saya hantar mereka berdua,” ujar Johan.

Dalam masa sama, Ozlynn memaklumkan tujuan utama adalah untuk mengajar anaknya rasa bersyukur dan cukup dengan apa yang dimiliki.

Tegasnya pengalaman ini memberi anaknya pengajaran tentang menghargai apa yang disediakan dan menerima keadaan dengan penuh kesyukuran.

“Kita nak dia belajar rasa bersyukur dengan apa rezeki yang dia ada dan sentiasa rasa cukup dengan apa yang dia miliki. Sebab apa rumah anak yatim, mereka tak ada mak ayah.

“Awak ada mak ayah. Awak ada mak ayah, awak terlalu selesa. Awak mengadu dengan penjaga, bukan dengan ibu bapa sendiri.

“Awak pula tak menghargai bila awak ada mak ayah, tak nak dengar cakap kami. Kita suruh berkongsi dengan adik-beradik pun awak tak nak, awak rasa geli dan macam-macam lagi.

“Jadi kita hantar ke sana untuk buka mata, supaya dia faham macam mana kehidupan anak-anak yatim,” kongsi Ozlynn.

Baca juga: Staf Isa Isarb didakwa songlap RM51,000, isteri risau tak balik rumah rupanya tidur hotel!