‘Pakai tudung, minum arak’ – Dua inidividu ditahan untuk bantu siasatan

Oleh MAISARAH AISYA

Tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengenakan tudung sambil meminum minuman keras di sebuah salun.

Tindakan tersebut mengundang kecaman ramai kerana dianggap menyentuh sensitiviti umat Islam, memandangkan pemakaian tudung dikaitkan dengan identiti Muslim sedangkan arak merupakan minuman yang jelas diharamkan dalam Islam.

Terbaharu dua individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan susulan rakaman video yang tular lapor Kosmo! Online.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dua individu tersebut iaitu seorang lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan kira-kira pukul 4.30 petang semalam di Subang Jaya.

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan awal polis mendapati individu yang memakai tudung dan minum minuman keras dalam video tersebut sebenarnya merupakan seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja tidak menjaga sensitiviti keagamaan sehingga mewujudkan suasana tidak harmoni.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutamanya melibatkan isu 3R (religion, race, royalty),” katanya.

Baca juga: Tetamu majlis akikah bawa balik kambing golek, orang belakang tak sempat merasa